1.
Hampir semua kerajaan yang pernah wujud di
Nusantara tumbang akibat penjajahan bangsa asing, dan sebahagian kecil pula
tumbang akibat perebutan kuasa dan pengkhianatan. Penjajah yang menumbangkan
kerajaan-kerajaan ini termasuklah Portugis, Belanda, Perancis, Sepanyol,
Inggeris, Vietnam dan Siam-Thai.
2.
Akibat dari peristiwa-peristiwa tersebut, anak
peribumi menderita dan tidak kurang pula berhijrah ke tempat lain. Terdapat
juga golongan yang diburu oleh penjajah yang menyebabkan mereka menukar
identiti dan menyara hidup dengan pekerjaan kasar diluar kebiasaan mereka. Golongan ulama pula
meneruskan dakwah penyebaran ilmu agama di kawasan-kawasan baru yang dihuni
mereka.
3.
Patani, seperti juga kerajaan-kerajaan lain di
Nusantara telah menyaksikan penghijrahan berbagai peringkat lapisan masyarakat
keluar dari tanah tumpah darah mereka. Ini berlaku apabila Patani yang beberapa
kali mengalami suasana perang yang panjang setelah jatuhnya pertama kali kepada
Siam dalam tahun 1785.
4.
Akibatnya, golongan penghijrah ini telah
melahirkan kelompok yang tercari-cari nasab salasilah serta sejarah keturunan
serta asal usul mereka. Keadaan semakin rumit apabila nenek moyang mereka yang
merupakan generasi pertama telah menukar pengenalan diri. Generasi kedua pula,
banyak menyimpan rahsia sejarah keluarga mereka. Paling banyak ialah mereka
banyak memberikan cerita dalam bentuk kiasan sahaja yang diturunkan pula kepada
generasi seterusnya melalui lisan.
5.
Tidaklah terkecuali hal berkenaan juga terjadi
kepada keturunan Tuan Lembut yang ramai tinggal di sekitar Pasir Puteh,
Kelantan. Telah beberapa generasi mereka berusaha mengumpulkan maklumat serta
data berkaitan dengan sejarah asal usul keluarga mereka.
Makam Tuan Lembut |
6.
Terpanggil kita untuk turut merungkaikan misteri
keturunan ini kerana kaitan rapat sejarah mereka dengan Kelantan dan Patani. Cara
kajiannya juga berdasarkan kajian sejarah sedia ada, sama ada melalui sebarang
bentuk penulisan mahu pun sejarah lisan.
7.
Menurut pendapat seorang kenalan yang juga
seorang guru agama, Tuan Lembut ini asalnya daripada perkataan Limbat.
Penulisan dalam huruf Jawi serta dialek yang menjadikan sebutan dan bunyi
intonasi seakan kedengaran seperti “limbat” menjadi “lembut”. Bahkan kita
sendiri melalui kajian salasilah Tuan Long Ghaffar dan pemerintahannya di
Jeram, mendapati nama Limbat wujud setelah kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan
(Pasir Puteh).
8.
Kita beranggapan bahawa Engku Long Seri telah
menganugerahkan satu kawasan untuk diteroka oleh sepupunya itu (Tuan Lembut).
Setelah penempatan baru dibina, maka tempat itu dinamakan dengan Limbat.
Seperti kebiasaan di Patani, pengasas atau pemimpin setempat akan digelar
dengan panggilan nama kawasan pentadbiran mereka atau yang teroka oleh mereka.
Dengan itu, Tuan Limbat adalah gelaran yang disebut oleh penduduk setempat. Hal
ini menyebabkan nama sebenar beliau telah tidak dikenali lagi oleh generasi
keturunannya.
9.
Menurut keturunan beliau, Tuan Lembut telah
berhijrah ke Kelantan semasa pemerintahan Engku Long Seri bin Tuan Long Ghaffar
di Jeram (1794 – 1878). Engku Long Seri dan Tuan Lembut adalah adik beradik
sepupu, dalam istilah Kelantan-Patani. Kedatangan Tuan Limbat ke Kelantan
menurut kajian kita pula, adalah lebih awal daripada itu iaitu di zaman
pentadbiran Tuan Long Ghaffar lagi, iaitu bapa saudara beliau. Ini adalah
berasaskan kenyataan bersumberkan keturunan Tuan Lembut sendiri.
10.
Menurut Nik Yunus bin Nik Sulaiman bin Wan Yusof
bin Tuan Lembut, kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan adalah akibat daripada
jatuhnya Patani ke tangan Siam tahun 1785. Tuan Long Ghaffar pula mentadbir di
Jeram dalam lingkungan tahun 1775 – 1794. Ini bermakna Tuan Lembut berundur ke
Kelantan semasa pemerintahan Tuan Long Ghaffar.
11.
Menurut Hajah Mariam binti Haji Nor dan Nik
Muhammad bin Nik Yunus, kaitan pembunuhan ibu tiri dan tahta yang menyebabkan
Tuan Lembut membawa diri ke Kelantan itu juga menunjukkan bahawa penghijrahan
itu berlaku sebelum jatuhnya Patani ke tangan Siam 1785.
12.
Maka kita membuat kesimpulan bahawa tarikh
kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan ialah semasa bapa saudarnya, Tuan Long
Ghaffar memerintah di Jeram, iaitu sebelum tahun 1794.
13.
Tuan Lembut merupakan putera Raja Long Nuh (Raja
Patani 1749 – 1771). Adik beradik Tuan Lembut pula ialah Raja Bakar (Raja
Patani 1771 – 1774), Tuan Halus (puteri) dan Tuan Mansor (Raja Reman 1780-an –
1836).
14.
Disepakati bahawa Tuan Lembut adalah putera Tuan
Long Nuh bin Tuan Long Nik (Raja Patani). Ini menunjukkan bahawa Tuan Long Man
(Raja Jala, Patani), Tuan Long Deraman (Raja Legeh, Patani) dan Tuan Long Ghaffar
(Perdana Menteri Kelantan) itu adalah bapa saudara sebelah bapa Tuan Lembut.
15.
Raja Ahmad (Sultan Muhammad Abdul Jalil
Karimullah Muallim Syah) bin Raja Bakar (Raja Patani 1774 – 1785) yang syahid
semasa kejatuhan Patani ke tangan Siam itu pula, ialah anak saudara Tuan
Lembut.
16.
Keturunan Tuan Lembut ramai yang menjadi alim
ulama dan yang paling masyhur ialah Tok Guru Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar
bin Haji Taib (Tok Guru Haji Daud Bukit Abal 1903 - 1976). Beliau ialah ulama
sufi juga Syeikh Tarekat Ahmadiah yang mengajar di Pondok Bukit Abal.
Rujukan Maya:
Salam. Boleh berkenalan. Menarik cerita. Jika tidak keberatan harap ADMIN dpt emelkan sy
ReplyDeleteSalam kenal dan salam ukhwah..Amba berminat dgn sejarah selsilah zuriat Tuan Long Nuh, bolih Admin emelkan amba..trmksh.
ReplyDelete