Monday, 11 July 2016

Tuan Lembut: Sejarah Dan Salasilah



1.       Hampir semua kerajaan yang pernah wujud di Nusantara tumbang akibat penjajahan bangsa asing, dan sebahagian kecil pula tumbang akibat perebutan kuasa dan pengkhianatan. Penjajah yang menumbangkan kerajaan-kerajaan ini termasuklah Portugis, Belanda, Perancis, Sepanyol, Inggeris, Vietnam dan Siam-Thai.


2.       Akibat dari peristiwa-peristiwa tersebut, anak peribumi menderita dan tidak kurang pula berhijrah ke tempat lain. Terdapat juga golongan yang diburu oleh penjajah yang menyebabkan mereka menukar identiti dan menyara hidup dengan pekerjaan kasar  diluar kebiasaan mereka. Golongan ulama pula meneruskan dakwah penyebaran ilmu agama di kawasan-kawasan baru yang dihuni mereka.


3.       Patani, seperti juga kerajaan-kerajaan lain di Nusantara telah menyaksikan penghijrahan berbagai peringkat lapisan masyarakat keluar dari tanah tumpah darah mereka. Ini berlaku apabila Patani yang beberapa kali mengalami suasana perang yang panjang setelah jatuhnya pertama kali kepada Siam dalam tahun 1785.


4.       Akibatnya, golongan penghijrah ini telah melahirkan kelompok yang tercari-cari nasab salasilah serta sejarah keturunan serta asal usul mereka. Keadaan semakin rumit apabila nenek moyang mereka yang merupakan generasi pertama telah menukar pengenalan diri. Generasi kedua pula, banyak menyimpan rahsia sejarah keluarga mereka. Paling banyak ialah mereka banyak memberikan cerita dalam bentuk kiasan sahaja yang diturunkan pula kepada generasi seterusnya melalui lisan.


5.       Tidaklah terkecuali hal berkenaan juga terjadi kepada keturunan Tuan Lembut yang ramai tinggal di sekitar Pasir Puteh, Kelantan. Telah beberapa generasi mereka berusaha mengumpulkan maklumat serta data berkaitan dengan sejarah asal usul keluarga mereka.

Makam Tuan Lembut



6.       Terpanggil kita untuk turut merungkaikan misteri keturunan ini kerana kaitan rapat sejarah mereka dengan Kelantan dan Patani. Cara kajiannya juga berdasarkan kajian sejarah sedia ada, sama ada melalui sebarang bentuk penulisan mahu pun sejarah lisan.


7.       Menurut pendapat seorang kenalan yang juga seorang guru agama, Tuan Lembut ini asalnya daripada perkataan Limbat. Penulisan dalam huruf Jawi serta dialek yang menjadikan sebutan dan bunyi intonasi seakan kedengaran seperti “limbat” menjadi “lembut”. Bahkan kita sendiri melalui kajian salasilah Tuan Long Ghaffar dan pemerintahannya di Jeram, mendapati nama Limbat wujud setelah kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan (Pasir Puteh).


8.       Kita beranggapan bahawa Engku Long Seri telah menganugerahkan satu kawasan untuk diteroka oleh sepupunya itu (Tuan Lembut). Setelah penempatan baru dibina, maka tempat itu dinamakan dengan Limbat. Seperti kebiasaan di Patani, pengasas atau pemimpin setempat akan digelar dengan panggilan nama kawasan pentadbiran mereka atau yang teroka oleh mereka. Dengan itu, Tuan Limbat adalah gelaran yang disebut oleh penduduk setempat. Hal ini menyebabkan nama sebenar beliau telah tidak dikenali lagi oleh generasi keturunannya.


9.       Menurut keturunan beliau, Tuan Lembut telah berhijrah ke Kelantan semasa pemerintahan Engku Long Seri bin Tuan Long Ghaffar di Jeram (1794 – 1878). Engku Long Seri dan Tuan Lembut adalah adik beradik sepupu, dalam istilah Kelantan-Patani. Kedatangan Tuan Limbat ke Kelantan menurut kajian kita pula, adalah lebih awal daripada itu iaitu di zaman pentadbiran Tuan Long Ghaffar lagi, iaitu bapa saudara beliau. Ini adalah berasaskan kenyataan bersumberkan keturunan Tuan Lembut sendiri.


10.   Menurut Nik Yunus bin Nik Sulaiman bin Wan Yusof bin Tuan Lembut, kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan adalah akibat daripada jatuhnya Patani ke tangan Siam tahun 1785. Tuan Long Ghaffar pula mentadbir di Jeram dalam lingkungan tahun 1775 – 1794. Ini bermakna Tuan Lembut berundur ke Kelantan semasa pemerintahan Tuan Long Ghaffar.


11.   Menurut Hajah Mariam binti Haji Nor dan Nik Muhammad bin Nik Yunus, kaitan pembunuhan ibu tiri dan tahta yang menyebabkan Tuan Lembut membawa diri ke Kelantan itu juga menunjukkan bahawa penghijrahan itu berlaku sebelum jatuhnya Patani ke tangan Siam 1785.


12.   Maka kita membuat kesimpulan bahawa tarikh kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan ialah semasa bapa saudarnya, Tuan Long Ghaffar memerintah di Jeram, iaitu sebelum tahun 1794.





13.   Tuan Lembut merupakan putera Raja Long Nuh (Raja Patani 1749 – 1771). Adik beradik Tuan Lembut pula ialah Raja Bakar (Raja Patani 1771 – 1774), Tuan Halus (puteri) dan Tuan Mansor (Raja Reman 1780-an – 1836).


14.   Disepakati bahawa Tuan Lembut adalah putera Tuan Long Nuh bin Tuan Long Nik (Raja Patani). Ini menunjukkan bahawa Tuan Long Man (Raja Jala, Patani), Tuan Long Deraman (Raja Legeh, Patani) dan Tuan Long Ghaffar (Perdana Menteri Kelantan) itu adalah bapa saudara sebelah bapa Tuan Lembut.


15.   Raja Ahmad (Sultan Muhammad Abdul Jalil Karimullah Muallim Syah) bin Raja Bakar (Raja Patani 1774 – 1785) yang syahid semasa kejatuhan Patani ke tangan Siam itu pula, ialah anak saudara Tuan Lembut.


16.   Keturunan Tuan Lembut ramai yang menjadi alim ulama dan yang paling masyhur ialah Tok Guru Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar bin Haji Taib (Tok Guru Haji Daud Bukit Abal 1903 - 1976). Beliau ialah ulama sufi juga Syeikh Tarekat Ahmadiah yang mengajar di Pondok Bukit Abal.




Rujukan Maya:











Tuesday, 28 June 2016

SALASILAH WALI SONGO: Wali Sembilan




1) SUNAN GRESIK


Nama sebenar: Maulana Malik Ibrahim

Panggilan lain: Syeikh Maghribi, Kakek Bantal


Salasilah:

Maulana Malik Ibrahim bin Sayyid Barakat Zainul Alam bin Sayyid Jamaluddin al-Hussein bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Bapanya, Sayyid Barakat Zainul Alam ialah putera kepada Sayyid Jamaluddin al-Hussein dan Puteri Linang Cahaya atau Puteri Mariam.

- Maulana Malik Ibrahim atau Sunan Gresik dilahirkan di Kerisik, Patani Darul Salam.

- Tahun kelahirannya tidak diketahui.

- Mempunyai seorang adik bernama Siti Aisyah.

- Merupakan Kepala/Ketua Wali Songo dan yang paling tua.

- Pada tahun 1397, Maulana Malik Ibrahim mengetuai rombongan dakwah bersama Raja Chermin ke Jawa untuk mengislamkan Raja Majapahit.

- Negeri Chermin yang dimaksudkan ialah sebuah negeri yang besar yang merangkumi Kelantan Tua dan Patani yang berpusat di Kota Jeddah, Bukit Panau (sekarang di Tanah Merah, Kelantan). Ketika itu nama Kelantan dan Patani masih belum wujud.

- Berdakwah di Gresik, Jawa Timur dan membuka pusat pengajian di sana.

- Mempunyai 2 puteri, Siti Muqfaroh dan Siti Sarah.

- Meninggal dunia dalam tahun 1419, dan dimakamkan di Gapura Waten, Gresik di Jawa Timur.



2) SUNAN AMPEL

Nama sebenar: Maulana Ahmad Rahmatullah

Panggilan lain: Raden Rahmat



Salasilah:

Maulana Ahmad Rahmatullah bin Sayyid Ibrahim al-Akbar (Sunan Nggesik) bin Sayyid Jamaluddin al-Hussein bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Bapa Sunan Ampel ialah Sayyid Ibrahim al-Akbar juga lebih dikenali sebagai Ibrahim Asmarakandhi atau Ibrahim Asmaro. Banyak lagi gelar lain yang diberikan kepadanya berdasarkan tempat2 di mana beliau berdakwah. Gelaran al-Akbar itu merupakan gelaran yang diambil dari bapanya, Sayyid Jamaluddin Hussein al-Akbar atau lebih popular dengan panggilan Sayyid Hussein Jamadil Kubro.

- Sayyid Ibrahim al-Akbar mempunyai 2 orang isteri.

- Isteri pertamanya di Patani ialah Wan Maimunah binti Syeikh Yusuf al-Syandani dan mempunyai 5 orang anak: Syeikh Wan Abdul Rahman, Wan Jamilah as-Syandaniyah, Syeikh Wan Yahya, Syeikh Wan Muhammad Yassin dan Syeikh Wan Hussein.

- Isteri kedua Sayyid Ibrahim al-Akbar ialah Puteri Canda Wulan binti Wira Bhadrawarman (Raja Champa), yang memperolehi 4 orang anak: Maulana Ishaq (Sunan Wali Lanang), Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel/Raden Rahmat), Maulana Ali Murtadho ( Raden Santeri/Tok Seban) dan Siti Zainab.

- Sunan Ampel dilahirkan di Champa.

- Mempunyai hubungan sepupu dengan Sunan Gresik.

- Dari Champa, Sunan Ampel berdakwah di Palembang

- Setelah Sunan Gresik meninggal dunia dalam tahun 1419, datuknya, Sayyid Jamaluddin al-Hussein telah menugaskan Sunan Ampel meneruskan dakwah di Jawa pula.

- Sunan Ampel berdakwah dan membuka pusat dakwah di Denta Ampel.

- Sunan Ampel meninggal dunia dalam usia yang sangat tua dan dimakamkan di Ampel, Surabaya.



3) SUNAN GIRI


Nama sebenar: Muhammad Ainul Yaqin

Panggilan lain: Raden Paku, Joko Samudro, Prabu Satmata


Salasilah:

Muhammad Ainul Yaqin bin Maulana Ishaq (Sunan Wali Lanang) bin Sayyid Ibrahim al-Akbar (Sunan Nggesik) bin Sayyid Jamaluddin al-Hussein bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.



Ringkasan:

- Bapa Sunan Giri ialah Maulana Ishaq (Sunan Wali Lanang) yang juga adik-beradik dengan Sunan Ampel.

- Maulana Ishaq berkahwin dengan Dewi Sekardadu puteri Prabu Menak Sembayu (Raja Blambangan) dan lahirlah Sunan Giri.

- Perkahwinan kedua Maulana Ishaq di Pasai dengan Wan Biru (Wan Fatimah) binti Sayyid Ali Nurul Alam pula melahirkan 7 orang anak: Siti Sarah, Siti Musalmah, Syeikh Muhammad Qossim, Siti Khatijah, Siti Maimunah, Syeikh Ibrahim dan Siti Aisyah.

- Sunan Giri dilahirkan di Blambangan dan dibesar dan dididik oleh Sunan Ampel iaitu bapa saudaranya sendiri.

- Rakan seperguruan di Pesantren Ampel ialah Raden Fattah.

- Setelah tamat pengajian dengan Sunan Ampel, beliau pergi pula menuntut ilmu agama di Pasai dan Pulau Besar, Melaka

 - Maka Sunan Giri membuka pusat pengajian agama di Desa Sidomukti, Selatan Gresik. Desa Sidomukti berada di kawasan bukit bukau yang bukit dalam Bahasa Jawa disebut giri.

- Apabila kerajaan Hindu Majapahit diruntuhkan oleh Raden Fattah dengan bantuan Wali Songo, Sunan Giri dilantik menjadi Penasihat Kerajaan Islam Demak menggantikan Syeikh Wan Hussein as-Senawi (Pateh Sri Amaravamsa) bin Sayyid Ali Nurul Alam.

- Sunan Giri kemudiannya dilantik sebagai Panglima Islam Demak dan Mufti Kerajaan Demak.

- Setelah Kerajaan Islam Demak berakhir, Sunan Giri diiktiraf sebagai Mufti Besar bagi semua kerajaan Islam di seluruh Pulau Jawa. 



4) SUNAN BONANG


Nama sebenar: Makhdum Ibrahim

Panggilan lain: Raden Makhdum Ibrahim


Salasilah:

Raden Makhdum Ibrahim bin Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel / Raden Rahmat) bin Sayyid Ibrahim al-Akbar (Sunan Nggesik) bin Sayyid Jamaluddin al-Hussein bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Bapa Sunan Bonang iaitu Sunan Ampel mempunyai 4 orang isteri.

- Isteri pertama, Nyai Ageng Manila (Rohana) binti Aryo Tejo (Temenggung Majapahit) yang melahirkan: Siti Sariah (Siti Syari’ah/Nyai Ageng Maloka), Siti Mutmainnah, Siti Hafsah, Raden Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang), Raden Qasim (Sunan Drajat / Raden Syaifuddin) dan Siti Sarah.

- Isteri kedua, Dewi Karimah binti Ki Bang Kuning, melahirkan: Dewi Murtasiyah dan Dewi Mutasimah.

- Isteri ketiga, Nyai Ageng Bela (anak saudara Aryo Tejo) melahirkan: Raden Hasyhim

- Isteri keempat: tidak diketahui namanya, melahirkan: Ratu Asyiqah, Alawiyah, Maulana Ahmad Hasamuddin (Sunan Lamongan)

- Terdapat nama2 lain anak Sunan Ampel yang tidak diketahui ibu kandung mereka, sama ada orang sama meliki nama panggilan berbeza: Raden Zainal Abidin (Sunan Demak), Pangeran Tumapel dan Raden Faqeh (Sunan Ampel 2).

- Belajar agama dengan ayahnya sendiri, Sunan Ampel.

- Suka mengembara sambil berdakwah.

- Tempat pertama yang berdakwah ialah Kediri, ketika itu masyarakat masih beragama Hindu. Di sana Sunan Bonang mendirikan Masjid Sangkal Daha.

- Sunan Bonang kemudian menetap di Bonang, Lasem di Jawa Tengah dan mendirikan pusat dakwah yang kemudian dikenali sebagai Watu Layar.

- Walaupun menetap di Bonang, tetapi beliau tetap meneruskan kembara dakwah seperti ke Tuban, Pati, Madura dan akhirnya meninggal dunia di Pulau Bawaen. 

- Sunan Bonang dimakamkan di Tuban, di bahagian barat Masjid Agung.



5) SUNAN DRAJAT


Nama sebenar: Raden Qasim

Panggilan lain: Raden Syaifuddin


Salasilah:

Raden Qasim bin Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel / Raden Rahmat) bin Sayyid Ibrahim al-Akbar (Sunan Nggesik) bin Sayyid Jamaluddin al-Hussein bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Sunan Drajat adalah adik Sunan Bonang yang berbapakan Sunan Ampel.

- Belajar ilmu agama dari ayahnya sendiri di Denta Ampel.

- Tugasan pertama dari ayahnya ialah berdakwah melalui jalan laut pesisir Gresik.

- Akhirnya Sunan Drajat singgah di Dusun Jelog, Banjarwati.

- Setahun selepas itu, Sunan Drajat berpindah dan mendirikan pusat dakwah di Dalem Wulur yang dikenali sebagai Desa Drajat.

- Sunan Drajat terkenal dengan sifat suka membantu dan menolong orang lain.

- Di pusat pengajiannya, beliau memelihara ramai anak yatim dan menempatkan fakir miskin.


6) SUNAN GUNUNG JATI


Nama sebenar: Syarif Hidayatulah


Salasilah:

Syarif Hidayatullah bin Sultan Wan Abdullah Umdatuddin bin Sayyid Ali Nurul Alam bin Sayyid Jamaluddin al-Hussein bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Bapa Syarif Hidayatullah, ialah Wan Abdullah yang mempunyai banyak gelarannya. Salasilah Sunan Gunung Jati adalah paling dan tidak banyak pertikaian. Ahli sejarah bersepakat dengan salasilah Sunan Gunung Jati tersebut.

- Wan Abdullah mempunyai 3 orang isteri.

- Isteri pertama, Nyai Rarasantang (Syarifah Mudaim) binti Prabu Siliwangi (Raja Panjajaran) melahirkan: Syarif Hidayatullah dan Syarif Nurullah

- Isteri kedua, Ratu Asyiqah binti Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel), melahirkan: Raden Fattah dan Syarif Babullah

- Isteri ketiga, Puteri Raja Champa, melahirkan: Wan Abul Muzaffar Waliyullah

- Syarif Hidayatullah berdakwah di Gunung Jati dan menjadi leluhur Kesultanan Cirebon.

- Beliau banyak memainkan peranan bersama anggota Wali Songo dalam menjatuhkan kerajaan Hindu Majapahit serta mendirikan Kerajaan Islam Demak.

- Sunan Gunung Jati terlibat dalam pengusiran Portugis di Sunda Kelapa.

- Beliau menggunakan kaedah seni tempatan yang diselaraskan dengan syariat Islam dalam misi dakwahnya untuk memujuk masyarakat memeluk agama Islam.

- Beliau bersama puteranya, Maulana Hasanuddin menyebarkan Islam sehingga ke Banten.



7) SUNAN KALIJAGA

Nama sebenar: Raden Said

Panggilan lain: Lokajaya, Syeikh Malaya, Pangeran Tuban, Raden Abadurrahman

Salasilah:


Raden Said bin Syeikh Ahmad (Raden Sahul / Temenggung Wilatika – Adipati Tuban) bin Syeikh Subakir (Muhammad al-Baqir / Syeikh Mansur) bin Sayyid Ali Nuruddin bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Ayahnya Syeikh Ahmad atau Raden Sahul adalah tokoh yang dinamakan sebagai pemberontak untuk meruntuhkan kerajaan Hindu Majapahit.

- Masyarakat Jawa suka mengaitkan beliau suka berendam di dalam sungai (kali) atau ‘jaga kali’.

- Sunan Kalijaga memainkan banyak memainkan peranan penting dalam pembangunan Masjid Agung Cirebon dan Masjid Agung Demak.

- Beliau sangat akrab dengan saudaranya, Sunan Gunung Jati dan Sunan Bonang.

- Sunan Kalijaga berdakwah banyak menggunaan prinsip psikologi. Kaedahnya sangat lembut dan beransur2 berusaha menolak kepercayaan masyarakat terhadap agama Hindu.

- Kaedah menggunakan seni ukir, wayang kulit, gamelan dan burdah banyak menarik masyarakat ke jalan Islam sehingga tertolak kepercayaan lama masyarakat secara halus.

- Antara golongan pemerintah yang memeluk Islam melalui Sunan Kalijaga ialah Adipati Panadaran, Kartasura, Kebumen, Manyumas serta Pajang (Yogjakarta).

- Sunan Kalijaga meninggal dunia dalam usia melebihi 100 tahun dan dimakamkan di Kadilandu, Selatan Demak.



8) SUNAN KUDUS


Nama sebenar: Jaafar Shaddiq



Salasilah:

Jaafar Shaddiq bin Utsman Haji (Sunan Ngudung) bin Maulana Ali Murtadho (Raden Santeri) bin Sayyid Ibrahim al-Akbar (Sunan Nggesik) bin Sayyid Jamaluddin al-Hussein bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Ibu Sunan Kudus ialah Nyai Ageng Maloka (Siti Syari’ah) binti Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel).

- Nenek sebelah ibunya ialah Siti Sarah, iaitu puteri Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik) dan Siti Fatimah (Wan Biru) binti Sayyid Ali Nurul Alam.

- Sunan Kudus menuntut ilmu agama dengan Sunan Kalijaga.

- Setelah menamatkan pengajian dengan Sunan Kalijaga, beliau berkelana berdakwa ke pendalaman Jawa Tengah, seperti Sragen, Simo sehinggalah Gunung Kidul.

- Cara dakwahnya lebih halus daripada gurunya Sunan Kalijaga.

- Sebelumnya para anggota wali (pendakwah Islam Jawa) tidak menemui calon yang sesuai untuk berdakwah di Kudus kerana masyarakatnya sangat tebal dengan ajaran Hindu dan Buddha dan keras terhadap ajakan terhadap agama lain.

- Di Kudus, beliau memanfaatkan segala symbol Hindu dan Buddha dalam dakwahnya. Kesannya dapat dilihat pada senibina Masjid Kudus.

- Syarah Sunan Kudus banyak menceritakan kisah ketauhidan dalam melembutkan hati masyarakat kepada Islam dan ternyata usaha itu berhasil.

- Apabila ayahnya, Sunan Ngudung (Utsman Haji) meninggal dunia, beliau diminta supaya menggantikan kekosongan jawatan Panglima Perang Demak yang ditinggal oleh ayahnya itu.

- Ketika Demak di bawah pimpinan Sultan Prawata, Sunan Kudus telah turut sama bertempur dengan Adipati Jipang, Arya Penangsang.



9) SUNAN MURIA

Nama sebenar: Raden Prawoto



Salasilah:

Raden Prawoto bin Raden Said (Sunan Kalijaga) bin Syeikh Ahmad (Raden Sahul / Temenggung Wilatika – Adipati Tuban) bin Syeikh Subakir (Muhammad al-Baqir / Syeikh Mansur) bin Sayyid Ali Nuruddin bin Sayyid Ahmad Syah Jalaluddin.


Ringkasan:

- Ibu Sunan Muria ialah Siti Sarah, puteri Maulana Ishaq (Sunan Wali Lanang) dan Siti Fatimah (Wan Biru) binti Sayyid Ali Nurul Alam.

- Sunan Muria mempelajari ilmu agama dari ayahnya sendiri, Sunan Kalijaga.

- Beliau banyak menggunakan kaedah ayahnya dalam berdakwah tetapi, namun dia lebih suka berdakwah ditempat terpencil.

- Sunan Muria mendekati masyarakat dengan mengajar mereka cara bercucuk tanam, berniaga dan menangkap ikan.

- Semasa berlaku konflik dalaman dalam Kesultanan Demak, Sunan Muria sering dirujuk sebagai orang tengah. Banyak kerumitan diselesaikan dan cadangan penyelesaian masalah tidak pernah ditolak oleh semua pihak.

- Sunan Muria berdakwah dari Jepara, Tayu, Juana, Kudus dan Pati. Beliau akhirnya meninggal dunia di kawasan penempatan lereng Gunung Muria, 18 kilometer ke utara Kota Kod

Tok Selehor: Ulama Sufi Berjiwa Melayu

1.       Setelah kejatuhan Patani kepada Siam pada 1785, negeri bumi auliya itu terus diberi berbagai tekanan dan serangan yang berterusan sehinggalah berlaku perang paling besar antara Siam-Patani selama 6 bulan bermula 1831 dan berakhir 1832. Diikuti perang ketiga besar pada tahun 1838. Peperangan inilah yang menyebabkan berlakunya penghijrahan besar-besaran watan Patani ke seluruh Nusantara. Kelantan paling banyak menerima kehadiran penduduk dari Patani ialah Terengganu, Kedah, Perak, Pahang  dan Johor. Selain itu ada yang berhijrah ke pulau-pulau di Laut China Selatan dan juga kepulauan Indonesia.


2.       Penghujung abad ke-19, telah muncul Ulama 5 Serangkai warisan Patani mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Nusantara. Mereka ialah Tok Jelapang (Tok Goloq / Tuan Gur Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Abdul Halim – 1861 – 1934) dari Pasir Mas, Tok Kenali (Tok Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad – 1868 – 1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (Tok Guru Haji Uthman bin Haji Muhammad – 1868 – 1953) dari Bachok, Tok Selehor, tokoh yang disebut dalam artikel ini - 1871 – 1935) dari Tumpat dan Tok Kemuning (Tok Guru Haji Ismail bin Senik – 1885 – 1934) dari Machang.


3.       Nama lengkap Tok Selehor atau Tok Selehong ini ialah, Haji Abdul Rahman bin Utsman. Bapanya Haji Utsman bin Senik berasal dari Jala di Patani yang berhijrah ke Kelantan akibat peperangan di Patani. Ibu Tok Selehor yang juga digelar Tok Syair itu pula ialah Mek Wi binti Muhammad Amin. Kampung Lubuk Jong atau kawasan Pondok Tok Selehor itulah beliau dilahirkan dalam tahun 1871.


4.       Tok Selehor telah menghabiskan pengajian 30 juzuk al-Quran dan asas agama dengan bapanya sendiri. Bagi mendapat asas yang lebih dalam, bapanya telah menghantar Tok Selehor menuntut ilmu dengan Tok Guru Haji Malik di Sungai Pinang, Tumpat.


5.       Setelah itu, Haji Utsman ayah Tok Selehor ,menghantarnya pula supaya melanjutkan pelajaran dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid di Kuala Bekah, Patani. Malangnya pembelajaran Tok Selehor di Kuala Bekar terhenti apabila Siam-Thai telah menangkap Tuan Guru Haji Abdul Rashid kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemberontakan dan pembebasan Patani. Beliau kemudian berguru pula di Pondok Tok Cha-Ok dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Muhammad Akib di Bendang Jong, Patani.


6.       Sebagaimana ayahnya, Tok Selehor adalah seorang yang lincah dalam ilmu persilatan. Namun tidak dapat dipastikan dimanakan beliau mempelajari ilmu silat berkenaan. Dengan kemahirannya dalam ilmu silat dan bermain keris  itu, Tok Selehor berulang alik dari Patani dengan hanya berjalan kaki. Beliau tidak gentar dengan aktiviti penyamun di Bukit Tanjung atau kawasan lain di sepanjang perjalanannya.

Makam Ayah Tok Selehor
7.       Setelah Tok Selehor menamatkan pengajian pondok di Patani, beliau kembali ke Kelantan. Kemudiannya beliau berhijrah ke Mekah untuk menimba ilmu agama di kota suci Mekah. Di sana Tok Selehor berguru dengan ramai ulama’. Antara ulama’ yang menjadi gurunya termasuklah ulama’ Melayu yang terkenal di Mekah iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1856-1906). 


8.       Setelah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada 1906, Tok Selehor mendalami ilmu-ilmu alat Bahasa Arab, ilmu fiqh khususnya fiqh Mazhab Syafi’i dan pelbagai ilmu qiraat dari bapa saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani. Ketika Tok Selehor belajar kitab fiqh dengan Syeikh Wan Daud al-Fathani, beliau membuat catatan mengenai ilmu yang dipelajarinya sehinggakan sahabat baiknya iaitu Tok Kenali pernah meminjam catatan beliau mengenai Kitab Munyatul Musalli hasil karya Syeikh Daud al-Fathani bin Abdullah (1769-1846) untuk digunakan bagi mengajar pelajar-pelajarnya. Tok Selehor kembali ke tanah air pada tahun 1340H/1921M setelah menuntut ilmu di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun.


9.       Tok Selehor juga mempunyai minat membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau juga turut tersohor dengan kebolehannya dalam bersyair dan mengarang syair. Tambahan pula, tiada siapapun yang dapat menandingi kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu. Bakat yang ada pada dirinya beserta anugerah suara yang merdu menjadikan beliau lebih dikenali ramai dengan panggilan Penyair kita. Kelebihan ini telah menarik minat penduduk tempatan dan sekitarnya untuk datang menuntut ilmu agama dengan beliau.


10.   Tok Selehor turut memberikan sumbangan dalam mengeratkan hubungan dan mendamaikan suami isteri yang berbalah. Dengan bakat yang dimilikinya dalam mengarang syair-syair dan mengalunkan bait-bait syair yang indah, beliau membantu pasangan suami isteri yang bermasalah dalam rumahtangga mereka. Bahkan ada suami yang bermasalah telah meminta pertolongan Tok Selehor menulis surat syair yang puitis untuk dihantar kepada isterinya yang merajuk. Akhirnya isteri yang merajuk kembali berdamai. Berikut adalah contoh syair yang dikarang oleh Tok Selehor bagi mendamaikan suami isteri:

Tiap-tiap malam kanda bermimpi Sedap rasanya tiada terperi
Adinda di tengah kanda di tepi Harum baunya umpama kasturi
Menghisap rokok meminum kopi Suka dan hilai senang di hati
Memeluk tengkuk mencium pipi. Kasih mesra sehingga mati.

11.   Tok Selehor mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. Di sebalik statusnya sebagai ulama, beliau sangat meminati binatang-binatang yang cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan yang memiliki suara yang merdu dan sebagainya. Beliau seringkali meluangkan masa senggangnya dengan memburu rusa dan memukat ikan. Kebiasaannya Kuala Tumpat menjadi pilihan tempat beliau memukat ikan. Uniknya, hasil tangkapan yang diperolehi Tok Selehor akan dibahagi-bahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan anak-anak muridnya.


12.   Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, beliau pulang ke tanah air pada tahun 1921 lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di atas tanah peninggalan bapanya di pinggir sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsannuddin atau tasawuf dengan Syarah Hikam Ibn Ata'Allah sebagi teks utama. Tok Seleong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubung khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran pondok Selehong yang dijadikan semacam kamar khusus tempat belau beribadat dan bersuluk.


13.   Kecenderungan Tok Selehor terhadap ilmu tasawwuf dalam sistem pengajian pondok yang didirikannya adalah kerana beliau sangat menekankan penyucian hati atau dalam kata lain tazkiyyah al-nafs. Hal ini terbukti apabila beliau membina sebuah tempat beribadah kepada Allah yang khusus di kawasan perkuburan berhampiran pondoknya yang kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Kok Pasir. Ia merupakan tempat suluk dan dibina sama saiz dengan kubur untuk memastikan hatinya tidak menjadi sombong dan riak dengan kemasyhurannya serta untuk sentiasa mengingatkan dirinya tentang mati.


14.   Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan sahaja terdiri dari masyarakat tempatan, bahkan ada yang datang dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya.


15.   Tok Selehor mengajar kitab Hikam di Pondok Selehor pada setiap hari Selasa. Pada hari tersebut ramai orang yang datang dari pelbagai tempat antaranya dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya semata-mata untuk mendengar pengajaran Tok Selehor yang menarik. Selain itu, Tok Selehor juga mengajar di tempat lain seperti di Wakaf Bharu. 


16.   Tok Selehor menjadikan masjid sebagai salah satu tempat pengajarannya. Dalam kuliahnya, Tok Selehor suka menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w Gaya penceritaan yang dibawa oleh Tok Selehor menjadikan seolah-olah masyarakat mesra dan dekat dengan Nabi Muhammad s.a.w, bahkan ada yang terpaksa memanjat pokok kelapa demi melihat Tok Selehor membacakan kisah Israk dan Mikraj. Kehebatan Tok Selehor dalam menyampaikan ilmu tasawwuf menjadikan ramai orang yang berubah menjadi lebih baik. Antaranya ada yang tidak solat berubah menjadi rajin untuk solat, yang mempunyai akhlak yang buruk bertukar kepada akhlak yang baik. Tok Selehor juga berjaya menghapuskan amalan masyarakat setempatnya yang suka melakukan pemujaan hantu dan amalan-amalan khurafat.


17.   Sambutan Maulidurrasul yang diadakan julung kalinya oleh Tok Selehor sebenarnya telah dilakukan oleh para ulama’ terdahulu sama ada di dunia Arab mahupun dunia Melayu sejak zaman berzaman. Ulama’ terdahulu meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w dengan pelbagai aktiviti sama ada melalui bacaan Barzanji, Burdah dan sebagainya. Barzanji ialah satu bentuk seni suara Islam yang mengandungi bacaan yang dikaitkan dengan peribadi dan sejarah hidup Rasulullah s.a.w yang dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah, puji-pujian terhadap Nabi, selawat dan diakhiri dengan doa. Barzanji bukanlah nama sebenar bacaan tersebut, tetapi ia adalah sandaran kepada nama pengarangnya iaitu Syeikh Jaafar al-Barzanji yang berasal dari Madinah. Beliau merupakan seorang ulama’, khatib di Masjid Nabawi, sasterawan dan penyair di zamannya telah menghasilkan himpunan kisah kelahiran dan riwayat hidup Rasulullah s.a.w bagi menanamkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w dan disampaikan dalam bentuk gaya suara dan irama tertentu.


18.   Tok Selehor mempunyai keperibadian yang tinggi hasil didikan daripada kedua orang tuanya yang sangat mementingkan pendidikan agama. Tok Selehor bukan sahaja seorang yang berani, pemurah, suka beribadat dan tidak suka bercakap perkara yang sia-sia bahkan beliau dikenali ramai sebagai seorang ulama’ yang sangat zuhud, warak dan tawaduk.


19.   Ketika masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi  perkahwinan  itu langsung  tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.  Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan.


20.   Ketika berada di Mekah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu. Namun perkahwinan itu tidak bertahan lama kerana setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah.


21.   Tok Selehor berkahwin dengan Hajah Mek binti Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada ketika itu.  Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan  ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad). Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah.


22.   Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu.  Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man  dan hasil daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal.


23.   Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap berpuaka.  Tok Selehor tidak takut sedikitpun.  Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa.  Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah  rusa dapat ditembak dan disembelih.  Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa.


24.   Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor.  Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke  laut . Dua hari kemudian  datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya.




    25.   Tok Selehor kembali ke rahmatullah pada usia 64 tahun iaitu pada malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353H bersamaan 20 Februari 1935M setelah menderita sakit kepala yang berpanjangan selama lapan hari.