Monday 11 July 2016

Tuan Lembut: Sejarah Dan Salasilah



1.       Hampir semua kerajaan yang pernah wujud di Nusantara tumbang akibat penjajahan bangsa asing, dan sebahagian kecil pula tumbang akibat perebutan kuasa dan pengkhianatan. Penjajah yang menumbangkan kerajaan-kerajaan ini termasuklah Portugis, Belanda, Perancis, Sepanyol, Inggeris, Vietnam dan Siam-Thai.


2.       Akibat dari peristiwa-peristiwa tersebut, anak peribumi menderita dan tidak kurang pula berhijrah ke tempat lain. Terdapat juga golongan yang diburu oleh penjajah yang menyebabkan mereka menukar identiti dan menyara hidup dengan pekerjaan kasar  diluar kebiasaan mereka. Golongan ulama pula meneruskan dakwah penyebaran ilmu agama di kawasan-kawasan baru yang dihuni mereka.


3.       Patani, seperti juga kerajaan-kerajaan lain di Nusantara telah menyaksikan penghijrahan berbagai peringkat lapisan masyarakat keluar dari tanah tumpah darah mereka. Ini berlaku apabila Patani yang beberapa kali mengalami suasana perang yang panjang setelah jatuhnya pertama kali kepada Siam dalam tahun 1785.


4.       Akibatnya, golongan penghijrah ini telah melahirkan kelompok yang tercari-cari nasab salasilah serta sejarah keturunan serta asal usul mereka. Keadaan semakin rumit apabila nenek moyang mereka yang merupakan generasi pertama telah menukar pengenalan diri. Generasi kedua pula, banyak menyimpan rahsia sejarah keluarga mereka. Paling banyak ialah mereka banyak memberikan cerita dalam bentuk kiasan sahaja yang diturunkan pula kepada generasi seterusnya melalui lisan.


5.       Tidaklah terkecuali hal berkenaan juga terjadi kepada keturunan Tuan Lembut yang ramai tinggal di sekitar Pasir Puteh, Kelantan. Telah beberapa generasi mereka berusaha mengumpulkan maklumat serta data berkaitan dengan sejarah asal usul keluarga mereka.

Makam Tuan Lembut



6.       Terpanggil kita untuk turut merungkaikan misteri keturunan ini kerana kaitan rapat sejarah mereka dengan Kelantan dan Patani. Cara kajiannya juga berdasarkan kajian sejarah sedia ada, sama ada melalui sebarang bentuk penulisan mahu pun sejarah lisan.


7.       Menurut pendapat seorang kenalan yang juga seorang guru agama, Tuan Lembut ini asalnya daripada perkataan Limbat. Penulisan dalam huruf Jawi serta dialek yang menjadikan sebutan dan bunyi intonasi seakan kedengaran seperti “limbat” menjadi “lembut”. Bahkan kita sendiri melalui kajian salasilah Tuan Long Ghaffar dan pemerintahannya di Jeram, mendapati nama Limbat wujud setelah kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan (Pasir Puteh).


8.       Kita beranggapan bahawa Engku Long Seri telah menganugerahkan satu kawasan untuk diteroka oleh sepupunya itu (Tuan Lembut). Setelah penempatan baru dibina, maka tempat itu dinamakan dengan Limbat. Seperti kebiasaan di Patani, pengasas atau pemimpin setempat akan digelar dengan panggilan nama kawasan pentadbiran mereka atau yang teroka oleh mereka. Dengan itu, Tuan Limbat adalah gelaran yang disebut oleh penduduk setempat. Hal ini menyebabkan nama sebenar beliau telah tidak dikenali lagi oleh generasi keturunannya.


9.       Menurut keturunan beliau, Tuan Lembut telah berhijrah ke Kelantan semasa pemerintahan Engku Long Seri bin Tuan Long Ghaffar di Jeram (1794 – 1878). Engku Long Seri dan Tuan Lembut adalah adik beradik sepupu, dalam istilah Kelantan-Patani. Kedatangan Tuan Limbat ke Kelantan menurut kajian kita pula, adalah lebih awal daripada itu iaitu di zaman pentadbiran Tuan Long Ghaffar lagi, iaitu bapa saudara beliau. Ini adalah berasaskan kenyataan bersumberkan keturunan Tuan Lembut sendiri.


10.   Menurut Nik Yunus bin Nik Sulaiman bin Wan Yusof bin Tuan Lembut, kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan adalah akibat daripada jatuhnya Patani ke tangan Siam tahun 1785. Tuan Long Ghaffar pula mentadbir di Jeram dalam lingkungan tahun 1775 – 1794. Ini bermakna Tuan Lembut berundur ke Kelantan semasa pemerintahan Tuan Long Ghaffar.


11.   Menurut Hajah Mariam binti Haji Nor dan Nik Muhammad bin Nik Yunus, kaitan pembunuhan ibu tiri dan tahta yang menyebabkan Tuan Lembut membawa diri ke Kelantan itu juga menunjukkan bahawa penghijrahan itu berlaku sebelum jatuhnya Patani ke tangan Siam 1785.


12.   Maka kita membuat kesimpulan bahawa tarikh kedatangan Tuan Lembut ke Kelantan ialah semasa bapa saudarnya, Tuan Long Ghaffar memerintah di Jeram, iaitu sebelum tahun 1794.





13.   Tuan Lembut merupakan putera Raja Long Nuh (Raja Patani 1749 – 1771). Adik beradik Tuan Lembut pula ialah Raja Bakar (Raja Patani 1771 – 1774), Tuan Halus (puteri) dan Tuan Mansor (Raja Reman 1780-an – 1836).


14.   Disepakati bahawa Tuan Lembut adalah putera Tuan Long Nuh bin Tuan Long Nik (Raja Patani). Ini menunjukkan bahawa Tuan Long Man (Raja Jala, Patani), Tuan Long Deraman (Raja Legeh, Patani) dan Tuan Long Ghaffar (Perdana Menteri Kelantan) itu adalah bapa saudara sebelah bapa Tuan Lembut.


15.   Raja Ahmad (Sultan Muhammad Abdul Jalil Karimullah Muallim Syah) bin Raja Bakar (Raja Patani 1774 – 1785) yang syahid semasa kejatuhan Patani ke tangan Siam itu pula, ialah anak saudara Tuan Lembut.


16.   Keturunan Tuan Lembut ramai yang menjadi alim ulama dan yang paling masyhur ialah Tok Guru Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar bin Haji Taib (Tok Guru Haji Daud Bukit Abal 1903 - 1976). Beliau ialah ulama sufi juga Syeikh Tarekat Ahmadiah yang mengajar di Pondok Bukit Abal.




Rujukan Maya: