1.
Setelah kejatuhan Patani kepada Siam pada 1785,
negeri bumi auliya itu terus diberi berbagai tekanan dan serangan yang
berterusan sehinggalah berlaku perang paling besar antara Siam-Patani selama 6 bulan bermula 1831 dan berakhir 1832.
Diikuti perang ketiga besar pada tahun 1838. Peperangan inilah yang menyebabkan
berlakunya penghijrahan besar-besaran watan Patani ke seluruh Nusantara.
Kelantan paling banyak menerima kehadiran penduduk dari Patani ialah Terengganu,
Kedah, Perak, Pahang dan Johor. Selain
itu ada yang berhijrah ke pulau-pulau di Laut China Selatan dan juga kepulauan
Indonesia.
2.
Penghujung abad
ke-19, telah muncul Ulama 5 Serangkai warisan Patani mengharumkan nama Kelantan
ke seluruh Nusantara. Mereka ialah Tok Jelapang (Tok Goloq / Tuan Gur Haji Wan
Ahmad bin Haji Wan Abdul Halim – 1861 – 1934) dari Pasir Mas, Tok Kenali (Tok
Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad – 1868 – 1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok
(Tok Guru Haji Uthman bin Haji Muhammad – 1868 – 1953) dari Bachok, Tok
Selehor, tokoh yang disebut dalam artikel ini - 1871 – 1935) dari Tumpat dan
Tok Kemuning (Tok Guru Haji Ismail bin Senik – 1885 – 1934) dari Machang.
3.
Nama lengkap Tok
Selehor atau Tok Selehong ini ialah, Haji Abdul Rahman bin Utsman. Bapanya Haji
Utsman bin Senik berasal dari Jala di Patani yang berhijrah ke Kelantan akibat
peperangan di Patani. Ibu Tok Selehor yang juga digelar Tok Syair itu pula
ialah Mek Wi binti Muhammad Amin. Kampung Lubuk Jong atau kawasan Pondok Tok
Selehor itulah beliau dilahirkan dalam tahun 1871.
4.
Tok Selehor telah menghabiskan pengajian 30
juzuk al-Quran dan asas agama dengan bapanya sendiri. Bagi mendapat asas yang
lebih dalam, bapanya telah menghantar Tok Selehor menuntut ilmu dengan Tok Guru
Haji Malik di Sungai Pinang, Tumpat.
5.
Setelah itu, Haji Utsman ayah Tok Selehor ,menghantarnya
pula supaya melanjutkan pelajaran dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid di Kuala
Bekah, Patani. Malangnya pembelajaran Tok Selehor di Kuala Bekar terhenti
apabila Siam-Thai telah menangkap Tuan Guru Haji Abdul Rashid kerana disyaki
terlibat dengan aktiviti pemberontakan dan pembebasan Patani. Beliau kemudian
berguru pula di Pondok Tok Cha-Ok dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Muhammad
Akib di Bendang Jong, Patani.
6.
Sebagaimana ayahnya, Tok Selehor adalah seorang
yang lincah dalam ilmu persilatan. Namun tidak dapat dipastikan dimanakan
beliau mempelajari ilmu silat berkenaan. Dengan kemahirannya dalam ilmu silat
dan bermain keris itu, Tok Selehor
berulang alik dari Patani dengan hanya berjalan kaki. Beliau tidak gentar
dengan aktiviti penyamun di Bukit Tanjung atau kawasan lain di sepanjang
perjalanannya.
Makam Ayah Tok Selehor |
7. Setelah Tok Selehor menamatkan pengajian
pondok di Patani, beliau kembali ke Kelantan. Kemudiannya beliau berhijrah
ke Mekah untuk menimba ilmu agama di kota suci Mekah. Di sana Tok Selehor
berguru dengan ramai ulama’. Antara ulama’ yang menjadi gurunya termasuklah
ulama’ Melayu yang terkenal di Mekah iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad
Zain al-Fathani (1856-1906).
8. Setelah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani meninggal
dunia pada 1906, Tok Selehor mendalami ilmu-ilmu alat Bahasa Arab, ilmu
fiqh khususnya fiqh Mazhab Syafi’i dan pelbagai ilmu qiraat dari bapa saudara
Syeikh Wan Ahmad al-Fathani iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani.
Ketika Tok Selehor belajar kitab fiqh dengan Syeikh Wan Daud al-Fathani,
beliau membuat catatan mengenai ilmu yang dipelajarinya sehinggakan
sahabat baiknya iaitu Tok Kenali pernah meminjam catatan beliau
mengenai Kitab Munyatul Musalli hasil karya Syeikh Daud al-Fathani bin
Abdullah (1769-1846) untuk digunakan bagi mengajar pelajar-pelajarnya. Tok
Selehor kembali ke tanah air pada tahun 1340H/1921M setelah menuntut ilmu
di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun.
9. Tok Selehor juga mempunyai minat membaca
buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah,
Dandan Setia dan sebagainya. Beliau juga turut tersohor dengan kebolehannya
dalam bersyair dan mengarang syair. Tambahan pula, tiada siapapun yang
dapat menandingi kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu.
Bakat yang ada pada dirinya beserta anugerah suara yang merdu
menjadikan beliau lebih dikenali ramai dengan panggilan Penyair kita.
Kelebihan ini telah menarik minat penduduk tempatan dan sekitarnya untuk
datang menuntut ilmu agama dengan beliau.
10. Tok Selehor turut memberikan sumbangan dalam
mengeratkan hubungan dan mendamaikan suami isteri yang berbalah. Dengan
bakat yang dimilikinya dalam mengarang syair-syair dan mengalunkan
bait-bait syair yang indah, beliau membantu pasangan suami isteri yang
bermasalah dalam rumahtangga mereka. Bahkan ada suami yang bermasalah
telah meminta pertolongan Tok Selehor menulis surat syair yang puitis untuk
dihantar kepada isterinya yang merajuk. Akhirnya isteri yang merajuk kembali
berdamai. Berikut adalah contoh syair yang dikarang oleh Tok Selehor bagi
mendamaikan suami isteri:
Tiap-tiap malam kanda bermimpi Sedap rasanya
tiada terperi
Adinda di tengah kanda di tepi Harum baunya
umpama kasturi
Menghisap rokok meminum kopi Suka dan hilai
senang di hati
Memeluk tengkuk mencium pipi. Kasih mesra
sehingga mati.
11.
Tok Selehor
mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. Di sebalik statusnya sebagai ulama,
beliau sangat meminati binatang-binatang yang cantik seperti kuda,
biri-biri jantan, ayam jantan yang memiliki suara yang merdu dan sebagainya.
Beliau seringkali meluangkan masa senggangnya dengan memburu rusa
dan memukat ikan. Kebiasaannya Kuala Tumpat menjadi pilihan tempat beliau
memukat ikan. Uniknya, hasil tangkapan yang diperolehi Tok Selehor akan
dibahagi-bahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan anak-anak
muridnya.
12.
Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, beliau
pulang ke tanah air pada tahun 1921 lalu mengasas pusat pengajian pondok
sendiri di atas tanah peninggalan bapanya di pinggir sungai Selehong. Di pondok
inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai
pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsannuddin atau
tasawuf dengan Syarah Hikam Ibn Ata'Allah sebagi teks utama. Tok Seleong
masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak
tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubung khas dalam kawasan tanah
perkuburan Islam berhampiran pondok Selehong yang dijadikan semacam kamar
khusus tempat belau beribadat dan bersuluk.
13.
Kecenderungan Tok
Selehor terhadap ilmu tasawwuf dalam sistem pengajian pondok
yang didirikannya adalah kerana beliau sangat menekankan penyucian hati
atau dalam kata lain tazkiyyah al-nafs. Hal ini terbukti apabila beliau
membina sebuah tempat beribadah kepada Allah yang khusus di
kawasan perkuburan berhampiran pondoknya yang kini dikenali sebagai Tanah
Perkuburan Kok Pasir. Ia merupakan tempat suluk dan dibina sama saiz
dengan kubur untuk memastikan hatinya tidak menjadi sombong dan
riak dengan kemasyhurannya serta untuk sentiasa mengingatkan dirinya
tentang mati.
14. Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan sahaja
terdiri dari masyarakat tempatan, bahkan ada yang datang dari Johor, Melaka, Pulau
Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya.
15. Tok Selehor mengajar kitab Hikam di Pondok
Selehor pada setiap hari Selasa. Pada hari tersebut ramai orang yang
datang dari pelbagai tempat antaranya dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang,
Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya semata-mata
untuk mendengar pengajaran Tok Selehor yang menarik. Selain itu, Tok
Selehor juga mengajar di tempat lain seperti di Wakaf Bharu.
16. Tok Selehor menjadikan masjid sebagai salah
satu tempat pengajarannya. Dalam kuliahnya, Tok Selehor suka menceritakan
kisah Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad
s.a.w Gaya penceritaan yang dibawa oleh Tok Selehor menjadikan
seolah-olah masyarakat mesra dan dekat dengan Nabi Muhammad s.a.w, bahkan
ada yang terpaksa memanjat pokok kelapa demi melihat Tok Selehor
membacakan kisah Israk dan Mikraj. Kehebatan Tok Selehor dalam menyampaikan
ilmu tasawwuf menjadikan ramai orang yang berubah menjadi lebih baik. Antaranya
ada yang tidak solat berubah menjadi rajin untuk solat, yang mempunyai
akhlak yang buruk bertukar kepada akhlak yang baik. Tok Selehor juga
berjaya menghapuskan amalan masyarakat setempatnya yang suka melakukan
pemujaan hantu dan amalan-amalan khurafat.
17. Sambutan Maulidurrasul yang diadakan julung
kalinya oleh Tok Selehor sebenarnya telah dilakukan oleh para ulama’
terdahulu sama ada di dunia Arab mahupun dunia Melayu sejak zaman berzaman.
Ulama’ terdahulu meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w dengan pelbagai
aktiviti sama ada melalui bacaan Barzanji, Burdah dan sebagainya. Barzanji
ialah satu bentuk seni suara Islam yang mengandungi bacaan yang dikaitkan
dengan peribadi dan sejarah hidup Rasulullah s.a.w yang dimulai dengan bacaan
surah al-Fatihah, puji-pujian terhadap Nabi, selawat dan diakhiri dengan
doa. Barzanji bukanlah nama sebenar bacaan tersebut, tetapi ia adalah
sandaran kepada nama pengarangnya iaitu Syeikh Jaafar al-Barzanji yang
berasal dari Madinah. Beliau merupakan seorang ulama’, khatib di Masjid
Nabawi, sasterawan dan penyair di zamannya telah menghasilkan himpunan
kisah kelahiran dan riwayat hidup Rasulullah s.a.w bagi menanamkan
perasaan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w dan disampaikan dalam bentuk gaya
suara dan irama tertentu.
18. Tok Selehor mempunyai keperibadian yang tinggi
hasil didikan daripada kedua orang tuanya yang sangat mementingkan
pendidikan agama. Tok Selehor bukan sahaja seorang yang berani, pemurah,
suka beribadat dan tidak suka bercakap perkara yang sia-sia bahkan beliau
dikenali ramai sebagai seorang ulama’ yang sangat zuhud, warak dan tawaduk.
19. Ketika masih belajar di Patani lagi beliau
berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah,
tetapi perkahwinan itu langsung
tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau
belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu
Bakar beliau pulang ke Kelantan.
20. Ketika berada di Mekah Tok Selehor telah
berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu. Namun
perkahwinan itu tidak bertahan lama kerana setelah pulang ke Kelantan mereka
berpisah.
21. Tok Selehor berkahwin dengan Hajah Mek binti
Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada
ketika itu. Hasil daripada
perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan
iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu
dan ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad).
Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah.
22. Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah
binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu.
Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man dan hasil daripada perkahwinan ini beliau
dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan
Guru Haji Awang Jal.
23. Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor
pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi
pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap
berpuaka. Tok Selehor tidak takut
sedikitpun. Semasa berburu beliau
mengunakan pipit pemanggil rusa. Setelah
ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah rusa dapat ditembak dan disembelih. Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika
memburu rusa.
24. Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa,
seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor
muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor. Selepas beberapa hari ikan itu berada di
Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke
laut . Dua hari kemudian datang
kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat
peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya.
25. Tok Selehor kembali ke rahmatullah pada usia
64 tahun iaitu pada malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353H bersamaan 20 Februari
1935M setelah menderita sakit kepala yang berpanjangan selama lapan hari.
salam tuan, ad tak rujukan lain yang boleh saya rujuk brkenaan dengan tok selehor ?
ReplyDeleteSalam tuan... masih ada lg x saki baki keturunan tok selehor @ ayahnya hj montok ?
ReplyDelete