Sunday 29 May 2016

Patani Abad Ke-19



1.       Ahli sejarah masih tercari-cari sejak bilakah wujudnya nama Patani dan hubungannya dengan Langkasuka secara konkrit. Begitu juga bagaimana pula nama Langkasuka beralih kepada Patani. Banyak kelompangan dalam menyusun sejarah Patani kerana banyak sebab-sebab tertentu.


2.       Musuh tradisi Patani pula ialah Ayuthia dan Siam. Patani jatuh ke tangan Siam pada 1785 ketika negeri-negeri bawahannya seperti Kelantan dan Terengganu berada dibawah pengaruh Johor. Negeri-negeri lain seperti Kedah dan Perak berada dibawah tekanan Siam dan Belanda. Bugis pula mula campurtangan untuk menentukan siapkah Raja-Raja Melayu di negeri sebelah barat semenanjung Tanah Melayu.


3.       Dengan kejatuhan itu, sebahagian negeri bawahan Patani telah diletakkan dibawah pentadbiran Siam secara langsung. Bagaimana pun, sebahagian lagi masih diperintah oleh Datu-Datu Patani dan berurusan langsung dengan pentadbiran pusat di Patani.


4.       Campurtangan Siam dan kekacauan yang ditimbulkan oleh pembesar Siam menyebabkan Raja dan rakyat Patani memberontak menentang kezaliman terhadap orang Melayu Patani. Tengku Lamidin yang dijadikan raja patung akhirnya terkorban dalam kebangkitan 1791.


5.       Pemberontakan Datok Pengkalan 1808 menyaksikan hak-hak pemerintahan Raja Patani disekat. Pertama kali dalam sejarah Patani apabila Nai Khuan Sai seorang berbangsa Cina dari Chenak dilantik menjadi Raja Patani pada 1808. Setelah mati Nai Khuan Sai, adiknya Nai Phya pula diangkat sebagi Raja Patani. Ramai Cina-Siam-Thai dibawa masuk membuatkan Patani menjadi huru hara. Patani menjadi tidak aman dengan serangan orang Melayu terhadap orang Siam.


6.       Siam-Thai terpaksa membuat perubahan pentadbiran bagi memastikan perniagaan mereka di Patani tidak terganggu oleh tindakbalas orang Melayu. Negeri-negeri kecil yang ditadbir oleh Datu-Datu Patani telah dihapuskan dan dicantum menjadikannya kepada 7 negeri pada 1810.


7.       Seorang dari keturunan asal Raja Patani dilantik menjadi raja bagi 6 negeri berkenaan. Tuan Sulong menjadi Raja Patani tinggal di Gerisek. Tuan Nik pula Raja Nongcik tinggal di Kota Nongcik. Tuan Long Mansur diangkat sebagai Raja Reman tinggal di Kota Bharu. Di Kampung Jalur pula, Tuan Jalur menjadi Raja Jala. Raja Legeh dikekalkan Tuan Nik Dah di Kota Legeh. Tuan Nik Dih di Jerenga pula adalah Raja Sai. Manakala Nai Phya, Cina-Siam yang asalnya beraja di Patani menjadi Raja Jering.

No comments:

Post a Comment