Monday 30 May 2016

Perbezaan 3 Datuk Pengkalan Patani



Terdapat 3 orang pembesar di Patani yang mempunyai gelaran yang hampir sama. Gelar Datuk Pengkalan ini menyebabkan ramai pencinta sejarah yang baru berjinak-jinak dengan sejarah Patani menjadi keliru.



1.       Datuk Pengkalan Tua adalah Raja Champa terakhir. Nama penuh baginda ialah Raja Wan Daim bin Dato’ Wan (Wan Nik). Baginda ialah Datu Jambu yang diangkat menjadi Raja Jambu di Patani dalam abad ke-17. Setelah kemangkatan Sultan Wan Muhammad Amin bin Nik Barul Salam di Champa pada 1684, Raja Wan Daim telah ditabal sebagai Raja Champa 1684 – 1692. Champa tumbang dalam perang Champa-Dai Viet pada 1692. Raja Wan Daim pulang ke Patani dan menetap di sana hingga akhir hayat baginda. Keturunan ramai diangkat sebagai Raja di Patani dan Kelantan. Ramai juga anak cucu baginda terdiri dari alim ulama yang membuka pusat pengajian agama di banyak tempat.


2.       Datuk Pengkalan Pauh ialah seorang pembesar di Patani pada abad ke-18. Beliau ialah abang  kepada Yang DiPertuan Raja Alung Yunus, Raja Patani. Mereka ialah putera kepada Raja Long Bahar yang berbondakan Raja Mas Kelantan. Semasa pertelingkahan Datuk Pengkalan Pauh dengan Raja Sai dan Raja Laksamana, Raja Alung Yunus telah masuk campur. Pada masa perbalahan itu, Datuk Pengkalan Pauh telah menembak Raja Alung Yunus dan terkena pada dada baginda. Raja Alung Yunus sempat bertahtah selama 11 bulan sahaja dan mangkat dalam peristiwa tersebut pada sekitar tahun 1720-an.


3.       Datuk Pengkalan. Baginda adalah daripada kerabat Raja Kelantan yang diangkat sebagai Raja Patani 1791 – 1808. Baginda diangkat sebagai Raja Patani bagi menggantikan Tengku Lamidin yang terbunuh dalam serang balas semasa pemberontakan terhadap Siam pada 1791. Bermula daripada pemerintahan Tengku Lamidin lagi, pembesar Siam suka mencampuri urusan pentadbiran dan mengganggu rakyat Patani. Orang Melayu dibunuh dan perlakukan sesuka hati oleh Siam. Datuk Pengkalan memerangi Siam sehingga mereka lari ke Singgora. Raja Singgora menulis surat ke Bangkok dan menghatar tentera Siam dari Bangkok, Singgora dan Ligor. Orang Melayu Patani pula diketuai oleh Datuk Pengkalan, Datuk Sai, Datu Pujut dan dibantu oleh Datu-Datu di dalam Patani. Serangan Siam tercetus pada 1808 dan Datuk Pengkalan syahid dalam peperangan tersebut.

1 comment:

  1. Assalamualaikum... Saya mempunyai pitis yang dikatakan dari pemerintahan malik Al aman datuk pengkalan. Mohon watsap saya di talian 01121922253

    ReplyDelete