Tuesday 31 May 2016

Selayang Pandang: Sultan Wan Muhammad Ariffin Syah



1.       Tok Kelumpang al-Jarimi al-Fathani (Tok Kelupang).  Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah al-Jarimi.  Adalah orang sama merujuk kepada Sultan Wan Muhammad Ariffin Syah iaitu seorang pendakwah yang tiba di Langkasuka pada akhir abad ke-14.


2.       Di tanah Patani, Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah diperkirakan sebagai adik beradik dengan Sayyid Hussein Jamadil Kubro (Sayyid Jamaluddin Hussein), Sayyid Thanauddin (Syeikh Saman) dan Syeikh Wan Nik al-Fathani.



3.       Bagaimanapun, Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah dan Syeikh Wan Nik al-Fathani tiba ke Patani terkemudian daripada Sayyid Jamaluddin Hussein dan Sayyid Thanauddin. Syeikh Wan Nik al-Fathani pula hanya sebentar sahaja di Patani kerana meneruskan misi dakwah ke Mindanao dan seterusnya ke Brunei. Di Brunei, Syeikh Wan Nik diangkat pula sebagai Sultan Brunei menggantikan pemerintahan asal yang tidak mempunyai pewaris lelaki.


4.       Di Patani pula, Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah disekitar Jerim dan pernah dilantik sebagai ketua pemerintah di Chabang Empat Patani. Gelar Sultan disebut kepada Syeikh Wan Muhammad Ariffin oleh rakyat Patani kerana sesuai dengan peranannya sebagai pendakwah dan pemerintah. Hal yang sama juga terhadap Sayyid Jamaluddin Hussein yang sebelumnya digelar sebagai Sultan Pa’ Tani walaupun beliau bukan seorang sultan yang dilantik. Tetapi Sayyid Hussein Jamaluddin adalah orang yang dianugerah satu kawasan untuk diteroka sebagai penempatan oleh Raja Langkasuka. Lalu Sayyid Jamaluddin Hussein menamakannya sebagai Jerim dan diangkat sebagai pemimpin di sana.


5.       Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah mempunyai seorang anak, Syeikh Wan Abdul Jabbar Syah yang juga seorang raja dan pendakwah besar di Patani. Syeikh Wan Abdul Jabbar Syah pula mempunyai seorang anak bernama Syeikh Wan Abdul Mubin I. Menurut tulisan Ustaz Haji Wan Mohd Saghir, Syeikh Wan Abdul Mubin inilah dikaitkan dengan nama Syeikh Gombak Abdul Mubin. Kedua-dua nama ini adalah orang yang sama dan diriwayatkan bersahabat dengan Syeikh Muhammad Said al-Barsisa dan Syeikh Syafiyuddin al-Abbasi yang mengislamkan Raja Patani, di awal pengislaman rakyat Patani secara besar-besaran.


6.       Salah seorang pendakwah besar Patani keturunan Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah ialah Syeikh Wan Abdur Rahman bin Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Wan Muhammad Jailani. Syeikh Wan Abdur Rahman lebih dikenali sebagai Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok atau Tok Perobok yang hidup pada abad ke-17 masehi.


7.       Keturunan Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah yang berdakwah ke Brunei pula ialah Haji Wan Sulaiman al-Fathani. Beliau adalah anak kepada Wan Masuji binti Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Wan Muhammad Jailani. Salah seorang anak Haji Wan Sulaiman ialah Pehin Orang Kaya Di Gadong Awanag Shahbuddin atau nama sebenarnya Wan Syihabuddin bi Haji Wan Sulaiman.


8.       Di Pahang pula, keturunan Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah yang berdakwah di sana ialah Syeikh Syihabuddin Abu Ahmad Abdul Mubin bin Syeikh Muhammad Tayyib bin Syeikh Abbas. Syeikh Syihabuddin Abu Ahmad adalah guru agama kepada Sultan Pahang 1932 - 1974, Sultan Abu Bakar Muazzam Shah bin Sultan Abdullah Mukhtasim Billah Shah.


9.       Keturunan Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah selain ramai di Patani, terdapat juga di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Brunei.


10.   Syeikh Wan Muhammad Ariffin Syah, selain meninggalkan ramai murid, keturunannya juga sehingga sekarang masih ramai yang giat menyebarkan dakwah di bumi nusantara ini.

No comments:

Post a Comment