Monday, 30 May 2016

Asal Usul Negeri Jala



1.       Jalo, Jalor, Jalur, Yalor, Yalur dan Yala. Sebutan dalam dialek Kedah, Kelantan dan Siam terhadap negeri Jala. Sebuah negeri yang dikatakan berasal dari perkataan ‘jala’ iaitu sejenis jaring yang ditebar sebagai alat menangkap ikan. Bentuk mukabumi Jala yang berbukit bukau dan berbentuk seperti jala itu dikatakan menjadi asas kepada nama negeri tersebut. Sesuai juga dengan peralatan utama penduduknya yang majoriti menggunakan jala bagi menangkap ikan di sungai.


2.       Jala bersempadan dengan Chenak di barat laut, Nongcik di timur laut dan Pujut di sebelah timur. Disebelah selatanya ialah Reman dan dibahagian baratnya pula ialah Kedah.


3.       Sungai utama di Jala ialah Sungai Biserah (Biserat/Bersirat).  Antara bukit bukaunya pula ialah Bukit Bilau. Bukit Besar (Bukit Indragiri) pula mempunyai puncak tertinggi dan pernah menjadi mercu tanda kepada pelayar sebagai petunjuk arah negeri Patani.


4.       Di bahagian selatan Jala pula terletak Bendang Setar, sebuah kawasan yang kaya dengan perlombongan bijih timah dan batu kapur.


5.       Jala dikatakan dibuka oleh Tuan Jalur pada sekitar tahun 1750-an. Baginda ialah Tuan Long Man putera kepada Tuan Long Nik (Datu Pujut). Penghijrahan baginda ini mempunyai kaitan dengan ancaman serangan Siam terhadap Patani dan Kedah serta perang saudara di Kota Kubang Labu di Kelantan. Tuan Long Deraman dan Tuan Long Ghaffar adalah adik beradik Tuan Jalur. Manakala Raja Long Nuh raja Patani 1749 – 1771, adalah saudara tua baginda. Raja Long Pandak adalah sepupu baginda berempat saudara.
6.       Tuan Long Man membuka Kampung Jalur dan menjadikan pusat pentadbiran Jala di sana. Golongan alim ulama yang turut serta dalam penghijrahan itu menyebabkan penempatan Jala semakin berkembang pada penghujung abad ke-18.


7.       Pemberontakan Datuk Pengkalan pada 1808 menyebabkan Siam memecahkan pentadbiran Patani kepada 7 negeri. Siam mengiktiraf Tuan Jalur sebagai Raja Jala pada 1810 dan member gelar kebesaran Siam-Thai sebagai Phraya Lor. Mengikut perlembagaan Siam-Thai, gelaran tersebut adalah setaraf dengan jawatan Gabenor.


8.       Tuan Jalur mangkat pada usia tua dalam tahun 1817. Putera baginda, Tuan Bangkok ditabalkan sebagai Raja Jala kedua.


9.       Hanya tiga generasi keturunan Tuan Jalur yang memerintah negeri Jala yang menyaksikan Tuan Kundur adalah Raja Jala terakhir. Tuan Kundur  bersama Tuan Sulong Raja Patani, Tuan Nik Dih Raja Nongcik dan Tuan Nik Dah (Nik Diah) Raja Legeh bersama rakyat masing-masing telah bersatu dengan pasukan Tengku Kudin putera Raja Kedah pada 1831. Terengganu turut menghantar 5 panglima bersama 5,000 tentera dan Kelantan turut menghantar 3,000 tentera dalam gabungan orang Melayu itu. Gabungan pasukan Melayu ini telah memberontak menentang Siam. Malangnya Tengku Kudin telah terkorban menyebabkan pasukan Kedah kacau bilau tiada pemimpin. Serangan besar-besaran Siam-Thai dari Chenak, Singgora, Ligor dan Bangkok menyebabkan pasukan Patani terpaksa berundur.


10.   Tuan Kundur Raja Jala dan Tuan Sulong Raja Patani berundur ke Kelantan pada 1832. Sehabis perang yang dikuasai Siam itu,  Nai Him Sai (Luang Sawad Phakdi) dilantik menjadi Raja Jala dan memindahkan pusat pentadbiran ke Kubang Teras. Apabila Nai Him Sai mati dilantik pula Nai Muang. Dengan perlantikan Nai dari Siam itu, maka berakhirlah kedaulatan tahta Jala setelah hampir kira-kira 100 tahun penubuhan negerinya.




No comments:

Post a Comment