Tuesday, 7 June 2016

Dato’ Syeikh Tajuddin Abdul Rahman Kedah (al-Jarumi al-Fathani)









1.       Dato’ Syeikh Tajuddin Abdul Rahman bin Syeikh Abdul Rahman, atau gelar pada pingat kebesarannya ialah Dato’ Mursyid DiRaja merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan 1995 – 1999.


2.       Madrasah Nahdhah Hasanah di Melele telah diasaskan oleh beliau pada 1946 setelah pulang ke Kedah apabila menamatkan pengajiannya di Mekah pada usianya 21 tahun ketika itu. Penduduk setempat juga telah mengangkat beliau sebagai Mudir pertama madrasah berkenaan.


3.       Beliau dilahirkan pada 1924, merupakan anak kelapan daripada 11 orang adik beradik. Pendidikan awal di zaman kanak-kanak ialah di pondok ayahnya sendiri, Pondok Batu 1.


4.       Ilmu al-Quran pula dipelajari melalui ibunya, Nik Doh. Ibu Dato’ Syeikh Tajuddin ialah Nik Rahmah (Nik Doh) binti Nik Abdul Manaf, merupakan kerabat Raja Teluban di Patani.


5.       Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Wan Idris (Tok Syeikh Jarum), ayah Dato Syeikh Tajuddin, merupakan pengasas Pondok Batu 1 (Jalan Sungai Korok, Alor Star) dan juga merupakan guru kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badli Shah serta kerabat istana Kedah.


6.       Ketika usia Dato’ Syeikh Tajuddin berusia 10 tahun, bapanya telah menghantar beliau untuk melanjutkan pengajian menengah dan tinggi di Mekah. Di Darul Ulum Mekah, beliau Bahasa Arab dan pelajaran lain seperti Mantik, Matematik dan Sains. Pelajaran agama yang beliau pelajari pula termasuklah Ilmu Feqah, Faraid, Usul Feqah, Qawaid Feqah, Tafsir, Ulum Quran, Hadith, Mustolah, Tauhid, dan Sejarah Islam. Manakala Bahasa ilmu Arab seperti Nahu, Sorof, Insyak, Mutolaah, ‘Arudh, Nusus, Adab dan Balaghah, dipelajari di Darul Ulum.


7.       Pada 1943 – 1945, beliau mendalami ilmu Feqah, Usul Feqah, Tauhid, Tafsir, Hadith dan Tasawuf di Masjil Haram.


8.       Antara guru-guru beliau di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (merupakan guru utamanya yang juga seorang ulama hadith yang sangat masyhur di Makkah), Syeikh Hasan al-Masyalt, Syeikh Ali al-Maliki, Syeikh Husain al-Maliki, Muhaddith Hijaz al-Hafiz Syeikh Omar Hamdan al-Mahrisi, Syeikh Shafie Kedah, Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani, Sayyid Muhammad Amin al-Qurtubi, Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas al-Hasani, Syeikh Zain al-Boyani, Syeikh Yaakub bin Abdul Qadir al-Mandili dan Syeikh Husain Abdul Ghani al-Falimbani.


9.       Dato’ Syeikh Tajuddin kembali ke Kedah setelah menamatkan pengajiannya di Mekah selama 12 tahun (1933 – 1945). Ayahnya, Syeikh Abdul Rahman, sentiasa memberi tunjuk ajar dan dorongan supaya beliau terus berjuang di dalam bidang dakwah sehinggalah ke penghujung hayat. Pondok Melele (Madrasah Nahdhah Hasanah) dibuka atas dorongan bapanya sendiri sekembalinya beliau dari Mekah. Semasa ayahnya meninggal dunia tahun 1954, Dato’ Syeikh Tajuddin telah pun berkahwin dan memperolehi beberapa orang anak.


10.   Datuk kepada Syeikh Tajuddin, Syeikh Wan Idris (Haji Wan Muhammad Idris bin Haji Wan Jamal) atau lebih dikenali dengan gelaran Tok Syeikh Jarum. Beliau ialah seorang ulama besar dan mempunyai ramai murid di seluruh Nusantara. Tok Syeikh Jarum dilahirkan pada 1849 di Kampung Bendang, Jaha di dalam negeri Jala di Patani. Beliau adalah ulama besar Patani serta mengajar di Pondok Tuan Minal di Bendang Dalam,Patani. Kedatangan Tok Syeikh Jarum ke Kedah adalah atas jemputan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, yang meminta beliau terus menetap di Kedah.


11.   Ayah Tok Syeikh Jarum pula ialah Haji Syeikh Wan Jamaluddin  (Syeikh Wan Jamal) bin Syeikh Wan Abdul Latif. Syeikh Wan Jamaluddin ialah hulubalang Patani di bawah pimpinan Haji Syeikh Wan Mustaffa (Tok Bendang Daya I) bin Syeikh Wan Zainal Abidin al-Fathani di zaman Dato’ Pengkalan, Raja Patani 1791 – 1808 dan Tuan Sulong, Raja Patani 1810 – 1832.


12.   Salasilah lengkap Dato’ Syeikh Tajuddin ialah Syeikh Tajuddin bin Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Wan Muhammad Idris (Tok Syeikh Jarum) bin Syeikh Wan Jamaluddin (Hulubalang Wan Jamal) bin Syeikh wan Abdul Latif bin Syeikh wan Muhammad Shamsuddin bin Syeikh Wan Muhammad Faqih bin Syeikh Wan Muhammad Yassin bin Syeikh Ibrahim al-Hadrami bin Syeikh Jamadil Kubro.


13.   Syeikh Ibrahim al-Hadrami bin Syeikh Jamadil Kubro ialah Sayyid Ibrahim Zain al-Akbar. Banyak gelar dan pangilan lain terhadap Syeikh Ibrahim al-Hadrami seperti Ibrahim Asmaro atau Maulana Ibrahim Asmarakandi. Manakala bapanya Syeikh Jamadil Kubro ialah Syeikh Ibar al-Jarimi atau Sayyid Jamaluddin Hussein al-Akbar (Sayyid Hussein Jamadil Kubro).


14.   Sayyid Ali Nurul Alam (Sultan Qunbul) adalah adik Syeikh Ibrahim al-Hadrami. Manakala Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel) juga adalah salah seorang anak Syeikh Ibrahim al-Hadrami. Sunan Ampel adalah anggota Wali Songo (Wali Sembilan) yang mempunyai hubungan sepupu dan lebih muda daripada Maulana Malik Ibrahim (Sunan Gresik – Ketua Wali Songo) bin Sayyid Barakat Zainul Alam bin Sayyid Hussein Jamadil Kubro.


15.   Begitulah keturunan Dato’ Syeikh Tajuddin yang merupakan dari Sayyid Jamaluddin Hussin, dari keluarga ulama besar dari Patani. Dato’ Syeikh Tajuddin meninggal dunia pada 11 Mei, tahun 2000 dengan meningalkan 9 orang anak. (Ketika tulisan ini telah terdapat anak Dato’ Syeikh Tajuddin yang telah pulang ke Rahmatullah).


Monday, 6 June 2016

Nikmat Melayu Dan Agamanya Islam



1.       Menceritakan sejarah asal usul bangsa Melayu sangatlah menarik.  Berbagai teori telah muncul dan tidak kurang juga penafian terhadap sebahagian teori yang dikemukakan tersebut. Namun sehingga saat ini tiada pengesahan mutlak terhadap sejarah asal usul Melayu berkenaan.


2.       Takrif Melayu sebagai satu bangsa (ras yang dicirikan sifat jasmaninya) yang sudah lama mendiami rantau ini dan sebagai suatu etnik (dicirikan oleh kebudayaan) memang kontroversi, sama seperti takrif bangsa atau etnik yang lain kerana akhirnya semua bangsa adalah serumpun dari Nabi Adam atau daripada kerabat Nabi Nuh yang beriman dalam kapal Nabi Noh tersebut. Tetapi, Allah sendiri menegaskan bahawa Dia menjadikan umat manusia berbagai-bagai bangsa dan etnik untuk kenal-mengenal antara satu dengan yang lain (al-Quran, Surah al-Hujarat 49:131), dan pembangunan sesuatu bangsa dan etnik itu mestilah dilakukan dalam acuan bangsa dan etnik itu (al-Quran, Surah Ibrahim: 4, dan Surah Ali ‘Imran: 161).


3.       Melayu ialah dari etnik bangsa Austronesia yang mendiami sebahagian besar Asia Tenggara termasuk pulau-pulaunya.


4.       Melayu Proto merujuk kepada Melayu Asli atau Melayu purba yang mula berada di Tanah Melayu dan pulau-pulaunya pada 2500 dan 1500 Sebelum Masehi. Kumpulan Melayu Proto yang terkenal hari ini adalah dari suku Moken, Jakun, Orang Kuala, Temuan dan Orang Kanaq.


5.       Sekitar 300 Sebelum Masehi, Melayu Deutro pula datang datang dari tanah besar Asia. Mereka terdiri daripada ras bangsa Syntia yang berasimilasi dengan ras bangsa-bangsa lain sebelum tiba ke Asia Tenggara.


6.       Mereka mendiami kawasan tinggi dan berasimilasi pula dengan etnik-etnik di sempadan China termasuk Yunnan dan Champa. Kedatangan Melayu Deutro menyebabkan Melayu Proto berundur ke pendalaman dan hulu sungai.


7.       Kedatangan Islam ke Asia Tenggara bermula pada awal abad ke-7 Masehi. Bagaimana pun penerimaan masyarakat Melayu terhadap agama Islam masih belum meluas, kerana jumlah kedatangan pendakwah sangat kecil menyebabkan perkembangan dakwah menjadi terhad. Ini kerana penempatan Melayu tradisional yang tinggal dalam kelompok yang kecil dengan jarak penempatan yang jauh antara satu sama lain.


8.       Di Tanah Melayu, perkembangan Islam menjadi pesat pada bermula abad ke-14 Masehi dan seterusnya menjadi sinonim dengan bangsa Melayu apabila lebih ramai pendakwah Islam tiba pada ke-15. Dalam abad ke-17, kesebatian Islam dan Melayu menyebabkan popular apabila bangsa asing ingin memeluk agama Islam dikatakan ‘Masuk Melayu’.


9.       Ini kerana bangsa Melayu mudah menerima Islam serta tekun beramal dengannya. Islam yang mendamaikan bangsa Melayu daripada berpecah belah, berperang merebut kekuasaan. Kerajaan Melayu meluaskan pengaruh pemerintahan dan salnig curiga satu sama lain. Jarang dapat dilihat sebuah kerajaan Empayar Melayu bertahan lama melainkan diserang dan diruntuhkan oleh kerajaan Melayu lainnya.


10.   Bagaimana pun hanya sebuah kerajaan Melayu yang bertahan paling lama, iaitu Langkasuka selepas bertukar menjadi Patani. Wujud seawal 2 Masehi dan pernah diserang oleh musuh tradisinya Ayuthia namun tidak member kesan terhadap kerajaan Melayu tersebut.


11.   Langkasuka juga pernah diserang oleh kerajaan Melayu Sriwijaya di Kedah dan terpaksa berpindah ke timur Segenting Kra. Serangan berterusan Ayuthia akhirnya menyebabkan Langkasuka mengecil dan namanya terpinggir di alam Melayu. Muncul pula Kerajaan Chermin dan terakhirnya Patani, sebagai legasi terakhir kerajaan Langkasuka.


12.   Kedatangan pendakwah Islam di Patani telah melonjakkan perkembangan dakwah secara menyeluruh ke seluruh pelusuk Asia Tenggara. Dari Patani, dakwah Islam menuju ke Champa dan seterusnya ke Pulau Jawa dan Sulawesi.


13.   Wali Sembilan (Wali Songo) yang datuk nenek mereka berasal dari Patani dan Champa telah berjaya menukar kerajaan Hindu Majapahit kepada kerajaan Islam di Jawa. Begitu juga Islam memasuki Pulau Sulawesi dan mengislamkan etnik Bugis, juga daripada Patani dan Champa.


14.   Masyarakat Melayu di kepulauan Filipina dan Borneo juga diislamkan oleh pendakwah yang masuk melalui Sumatera, Jawa dan Patani. Akhirnya rantau Asia tenggara yang selama ini direbut sesama sendiri telah bersatu di bawah nama Nusantara dan hidup sandar menyadar satu sama lain.


15.   Nusantara yang makmur sebagai wilayah Islam yang kuat, disuburkan pula dengan buminya yang kaya dengan galian dan rempah ratus, telah menimbulkan rasa iri dan tamak haloba golongan Yahudi dan Kristian di sebalah Eropah dan Barat.


16.   Yahudi dan Kristian dalam usaha yang besar ingin menumbangkan kerajaan Islam Empayar Uthmaniyyah di Turki, berasa gusar dengan munculnya kuasa Islam yang kuat di Asia Tenggara. Serentak dengan itu mereka telah melancarkan strategi serampang dua mata untuk membolot kekuasaan ekonomi dan sekali gus menumbangkan pengaruh Islam.


17.   Bermula dengan kejatuhan Melaka dan Acheh kepada Portugis, kemudian Jawa kepada Belanda. Seterusnya Filipina kepada Sepanyol. Sejarah menyaksikan penjajah bertukar tangan dalam menjarah dunia Melayu.


18.   Patani akhirnya (negeri Melayu terakhir yang tewas) tumbang kepada Siam hasil camputangan Belanda dan Inggeris. Setelah kejatuhan Patani, dakwah dan penghayatan terhadap Islam semakin merosot pada abad ke-19 sehinggalah sekarang. Sejarah bahawa Patani adalah sebuah pusat perkembangan Islam di Nusantara selepasa Acheh, juga telah dikaburkan.


19.   Di dalam siri perperangan menentang penjajah, terlalu ramai ulamak telah terkorban syahid dan ada juga dibuang negeri demi mempertahankan bumi Melayu ini. Namun nama-nama mereka mejadi ‘unsung heroes’ kerana tenggelam dengan perajurit yang terkorban menentang pengganas komunis dan mempertahan system baru yang diperkenalkan oleh para penjajah.


20.   Banyak sejarah Melayu telah dimusnah dan disorok. Begitu juga perjanjian pecah dan perintah penjajah telah dirahsiakan. Sejarah Melayu tertentu telah diangkat dengan bangganya. Semuanya demi memisahkan dan menghapuskan Islam daripada jatidiri Melayu, yang selama ini telah sebati selama lebih setengah abad. Melayu hari ini semakin berpecah dengan sistem penjajah dan Islam dipecahkan dengan strategi mereka juga.


Misteri Salasilah Tok Pulau Manis

Foto Ihsan Ustaz Saiful Baharin


1.       Moyang (istilah Terengganu ‘tok nyang’) kepada Tok Pulau Manis dinyatakan sebagai Syarif Muhammad al-Baghdadi. Beliau dikatakan berasal dari Baghdad di Iraq sekarang. Ada juga yang mendakwa beliau adalah seorang raja di Baghdad dan meninggalkan tahta kemudian ke Mekah sebelum menuju ke Nusantara. Ada pula yang berpendapat beliau adalah Syarif Mekah yang meninggalkan Kota Mekah ke Baghdad sebelum ke Nusantara.


2.       Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya Syarif Abdul Malik bin Syarif Abdullah (Tok Pauh) bin Syeikh Abdul Qahar bin Syarif Muhammad al-Baghdadi. Beliau dilahirkan pada 1650/1678 dan meninggal dunia 1736. Di Kelantan dan Terengganu, Tok Pulau Manis sangat dikenali dengan kitab Jawinya, Syarah Hikam karya Ibnu Athoillah as-Syakandari.


3.       Bagaimana pun, masyarakat masih belum jelas asal usul nenek moyang Tok Pulau Manis dan ketibaan mereka ke Terengganu. Menurut sebahagian pendapat, Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah orang sama dengan Syafif Muhammad Abul Nubaj (Al-Hassan Abu Numay) bin Abu Saad. Beliau ialah Syarif Mekah 1254 – 1301.


4.       Walaupun dakwaan tersebut ada yang menyatakan dari Baghdad atau Mekah, namun mereka bersependapat bahawa Syarif Muhammad al-Baghdadi adalah dari keturunan Sayyidina Hassan bin Sayyidina Ali dan Sayyidah Fatimah az-Zahra, yakni ahlul bait berdarah Rasulullah SAW.


5.       Namun penceritaan dan dakwaan bagaimana Syarif Muhammad tiba di Nusantara dan berada di Terengganu itu sangat kabur. Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 pula hanya menyebut Raja Mandalika tanpa ada penerangan jelas tentang raja tersebut. Bagaimana pula dikaitkan Raja Mandalika dan Syarif Muhammad al-Baghdadi tidaklah pula dinyatakan dengan jelas.


6.       Ada juga pendapat baharu yang mendakwa Syarif Muhammad al-Baghdadi mempunyai kaitan dengan Malikul Salleh dan Meurah Silu di Aceh. Namun semua itu sekadar garapan yang belum mempunyai bukti yang kuat.


7.       Namun pengiraan bahawa Syarif Muhammad al-Baghdadi yang hidup sekitar tahun 1200 dan 1300 manakala cicitnya pula (Tok Pulau Manis) hidup era  tahun 1600-an, menunjukkan jarak garis masa yang panjang dan dalam tempoh lebih 300 tahun hanya terdapat 3 generasi sahaja. Ini adalah sesuatu yang aneh walaupun keturunan al-Hassani ada yang berumur panjang. Namun ianya tidaklah mustahil jika ada petunjuk menyokong dakwaan berkenaan.


8.       Kita menghormati semua pendapat tentang salasilah Tok Pulau Manis, kerana tiada fakta konkrit untuk membuktikan setiap dakwaan masing-masing. Sebagai pihak ketiga yang penyokong kajian berterusan salasilah berkenaan, kita juga suka untuk menyebut pendapat yang sangat berlainan dengan apa yang telah tertulis di atas.


9.       Terdapat satu salasilah Tok Pulau Manis yang mengaitkan Syarif Muhammad al-Baghdadi sebagai anak Syarif Nurullah. Menurut pandangan mereka, Syarif Nurullah ini pernah menjadi Raja Champa dan turut membantu bapanya, Sultan Wan Abdullah dalam memerangi penjajahan Annam (Vietnam) terhadap Champa. Syarif Nurullah kemudian bermudik ke Kuala Berang dan membuka kota dan berdakwah di sana.


10.   Sebuah salasilah yang mengaitkan Syarif Muhammad al-Baghdadi dengan pemerintah Cirebon juga tidak dapat ditolak dengan mudah. Ianya kerana dakwaan masing-masing tentu mempunyai asas yang mereka percayai. Akan tetapi untuk menentukan salasilah manakah yang paling benar, itu terpulamg kepada individu untuk menilaikannya.


11.   Syarif Muahammad al-Baghdadi menurut Salasilah tersebut merupakan orang yang sama dengan Syarif Muhammad Arifin, bekas penguasa Cirebon. Beliau ialah putera Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah, Wali Songo) yang meninggalkan keraton untuk menjalani  penghidupan biasa dengan berdakwah.  Beliau membuka pusat dakwah di Kuala Berang dan seterusnya melahirkan Syarif Abdul Qahar iaitu datuk kepada Tok Pulau Manis.


12.   Namun pendapat yang mengaitkan Syarif Muhammad al-Baghdadi dengan keturunan Sunan Gunung Jati disanggah oleh sebahagian keturunannya di tanah seberang. Mereka mengemukakan bukti tulisan pada helaian kulit kambing dan tertulis nama-nama dalam catatan salasilah.  Tatapi tiada pula pembuktian bahawa tulisan salasilah pada bulu kambing itu ditulis di zaman atau pada tahun bila. Sekiranya terdapat pembuktian terhadap salasilah tersebut maka jumlah kajian terhadap salasilah sebenar Tok Pulau Manis akan menjadi lebih berfokus.


13.   Sekiranya benar Tok Pulau Manis ada kaitan dengan Sunan Gunung Jati, maka sudah pastilah nasab beliau akan bertemu kepada Sayyidina Hussein bin Sayyidina Ali dan Sayyidah Fatimah az-Zahra, walaupun terdapat sesetengah pihak pula ingin mengaitkan leluhur Wali Songo dengan keturunan yang bersambung nasabnya kepada Sayyidina Hassan (al-Hasani).


14.   Sebagai seorang pencari, tentulah kita sendiri menyakini pada salah satu salasilah yang dinyatakan di atas. Selain bersahabat dan bersaudara dengan anak cucu Tok Pulau Manis, pengkajian kita juga menyokong tentang pandangan bahawa salasilah yang terakhir dinyatakan di atas adalah salasilah benar keluarga ulama besar bagi Patani, Kelantan dan Terengganu ini.