Sunday 29 May 2016

Asal Usul Reman



1.       Raman, Rahman dan Rehman. Ketiga-tiga nama berkenaan merujuk Reman terutama dalam sejarah yang merujukkan negeri berkenaan di Patani. Banyak cerita lisan mulut ke mulut terutama  bagi penduduk asal Hulu Perak dan keturunan Long Ghaffar di Kelantan dan Terengganu. Tetapi nama itu sangat asing bagi masyarakat luar dan apatah lagi bagi kalangan bukan peminat sejarah Patani.


2.       Rekod British paling awal tentang nama Reman (Raman) ialah dalam tahun 1818, iaitu semasa perjanjian Gabenor Pulau Pinang, John Bannerman dengan Tuan Long Mansur, Raja Reman di Kroh.


3.       Catatan Inggeris yang kedua pula ialah pada 1824, apabila John Anderson menyebut bahawa Reman adalah salah sebuah negeri  bawahan Patani.


4.       Negeri-negeri yang bersempadan dengan Kelantan, Perak dan Kedah adalah di bawah pemerintahan keturunan Datu Pujut. Negeri berkenaan ialah Pujut, Legeh yang mempunyai sempadan Perak dan Kelantan. Reman yang sempadannya Perak dan Kedah. Manakala Jala yang bersempadan dengan Kedah dan Chenak (Siam).


5.       Pada tahun 1780, Perak dan Belanda dicatatkan telah memantau aktiviti penerokaan kawasan di sebelah utara Perak.


6.       Dalam tahun 1790 pula, semakin ramai masyarakat Patani membuka kawasan baru di utara Perak. Kawasan penempatan baru ini dibuka oleh orang Melayu yang lari dari kekejaman Siam setelah kejatuhan Patani pada 1785.


7.       1808 adalah tahun Pemberontakan Datok Pengkalan, Raja Patani terhadap Siam.  Datok Pengkalan syahid dalam pemberontakan tersebut. Seorang Cina-Siam dari Chenak bernama Nai Khwan Sai telah dilantik oleh Siam sebagai raja yang memerintah Patani.  Kemudian Nai Phya pula mengambil alih selepas kematian Nai Khwan Sai.


8.       Pemberontakan orang Melayu semakin menjadi-jadi semenjak pemerintahan Nai Khwan Sai dan Nai Phya. Ianya menyebabkan banyak perusahaan dan perniagaan Cina-Siam di Patani merosot.


9.       Suatu tindakan terpaksa diambil oleh Siam iaitu dengan menyerahkan kembali kuasa pemerintahan kepada keturunan asal Raja Patani.


10.   Negeri-negeri kecil di Patani dihapuskan dan dicantum menjadi 7 negeri.  Seorang daripada keturunan Raja Patani telah dipilih oleh Siam sebagai raja bagi 6 negeri tersebut. Sebuah lagi negeri iaitu Jering pula diperintah oleh Cina-Siam bernama Nai Phya.


11.   Pada tahun 1810, Tuan Long Mansur telah dilantik menjadi Raja Reman yang pertama. Kota Bharu menjadi pusat pentadbiran negeri Reman.


12.   Pujut ialah sebuah negeri yang telah lama wujud semenjak zaman Sultan Mansur Shah (1564 – 1572). Tahun 1810 menyaksikan Pujut telah dicantum dan berada dibawah penguasaan Raja Reman.


13.   Ada pendapat menyatakan bahawa Reman telah mengisytiharkan bebas daripada pemerintahan Patani. Namun tiada penyataan untuk menyokong bilakah tarikh pengisytiharan Reman tersebut. Berdasarkan faktor kestabilan Patani sebelum kejatuhannya, kemungkinan pengisytiharan Reman sebagai sebuah negeri bebas dari Patai itu dibuat antara 1785 dan 1810. Siam tidak mengiktiraf pengisyitiharan itu, menyebabkan pembentukan negeri Reman sebahagian daripada 7 negeri Patani itu dibuat pada 1810.


14.   Penduduk dipenempatan yang dibuka pada tahun 1780 dan 1790 di Kroh dan Hulu Perak telah lama bertuankan Tuan Long Mansur. Kroh, Klian Intan dan kawasan Hulu Perak turut diletakkan dibawah pentadbiran Raja Reman pada tahun 1810.


15.   Menerusi campurtangan Inggeris, Sultan Perak telah melakukan serangan terhadap orang Reman di Kroh dalam usaha merebut kawasan lombong bijih. Srangan dilakukan pada tahun 1826, 1852 dan 1854. Semua serangan tersebut Berjaya dipatahkan oleh Raja Reman.


16.   Sultan Yusuf Sharifuddin Shah bin Sultan Abdullah Muhammad Shah, Sultan Perak 1877 – 1887, bersama wakil Inggeris telah membuat perjanjian dengan Gabenor Siam. Hasilnya pada 1882, Gabenor Siam telah menetapkan sempadan Reman-Perak adalah di Bukit Nasah. Bagaimanapun, Tuan Jagung Raja Reman tidak mempedulikan   penetapan sempadan tersebut.


17.   Kawasan Kroh serta Hulu Perak kekal dibawah negeri Reman sehinggalah termeterainya Perjanjian Bangkok 1909.


18.   Jadi dapatlah disimpulkan bahawa negeri Reman mula wujud pada sekitar tahun 1790 dan distruktur semula oleh Siam dalam tahun 1810. Raja reman yang pertama ialah Tuan Long Mansur atau Tok Nik Leh yang memerintah sehingga tahun 1836.


19.   Raja Reman kelima dan terakhir ialah Tuan Lebeh Long Raya (1899 – 1901). Baginda dikatakan dibunuh oleh Siam pada 1901 dan ada pula pendapat menyatakan baginda terselamat dan mendiamkan diri di satu tempat.


20.   Setelah berakhirnya pemerintahan Tuan Lebeh Long Raya pada 1901, maka berakhirlah negeri riwayat negeri Remah yang telah wujud selama kira-kira 110 tahun.

9 comments:

  1. laman web negeri perak menyatakan baginda temong menyerahkan hulu perak pada muzaffar shah bagaimana pula. sedangkan temong lebih awal daripada itu. atau ada sejarah yang dipalsukan oleh pemerintah pada waktu itu.

    ReplyDelete
  2. Tak de group warisan Raja Remanke..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moyang saya pun kerabat orang reman datang ke Perak ni

      Delete
  3. Kg selarong kroh ada lgi istana reman

    ReplyDelete
  4. Hulu perak tu dlu smpai di kati kuala kangsar je

    ReplyDelete
  5. Hulu Perak pd.masa dibawah Tun Saban dan adiknya Tun Perabu(Tok Temong) terhad di Durian Pipit.

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. Kenapakah orang Melayu disrbut sebagai pemberontak...?

    ReplyDelete
  8. Adakah cerita dari DATOK HAJI MOHAMMAD RASSYID GELAR DATOK LIDAH HITAM ASAL PATANI 🙏🙏🙏

    ReplyDelete