Sunday, 5 June 2016

Telaga Lailatul Qadar Di Bendang Daya


1.       Malam Lailatul Qadar ialah suatu malam yang dijanjikan oleh Allah SWT ‘Lailatul Qadar (Arab: لیلة القدر‎) adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Quran yang pertama dipercayai diturunkan pada malam ini. Malam Lailatul Qadar disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Qadr, dan diceritakan lebih baik daripada 1,000 bulan.


2.       Telaga di Bendang Daya yang kita catatkan di sini pula dinamakan Telaga Lailatul Qadar kerana ia mempunyai kisah tersendiri. Di dalam cerita lisan, terdapat dua orang ulama besar Patani yang direzekikan oleh Allah SWT dengan berjumpa dengan malam dan peristiwa Lailatul Qadar di tempat yang sama tetapi dimasa yang berlainan. Tempat yang dimaksudkan itu ialah di perigi Bendang Daya yang dinamakan Telaga Lailatul Qadar tersebut.


3.       Lebih menariknya pula ialah kedua-dua ulama tersebut digelarkan dengan gelaran yang hampir sama dan keduanya pula adalah mempunyai pertalian darah bapa dan anak. Gelaran bagi bapa ialah Tok Bendang Daya I dan anaknya pula Tok Bendang Daya II. Mereka adalah dari keturunan putera bongsu Sayyid Nurul Alam bin Sayyid Hussein Jamaluddin (Syeikh Jamadil Kubro)


4.       Nama lengkap Tok Bendang Daya I ialah Haji Syeikh Wan Mustaffa bin Syeikh Wan Zainal Abidin (Faqih Wan Musa) bin Syeikh Wan Muhammad Shalih bin Sayyid Ali Nurul Alam (Syeikh Wan Ali al-Masyhur al-Laqihi).  Beliau ialah Hulubalang Sultan Patani yang diberi gelar Datuk Panglima Kaya atau panggilan ringkasnya, Hulubalang Wan Pa. Tok Bendang Daya I membuka pondok pengajian Islam di Kampung Sena dan generasi pondok lebih mengenali beliau sebagai Tok Bendang Daya.


5.       Diceritakan pada suatu malam pada bulan Ramadhan, Tok Bendang Daya I sedang mengambil wuduk. Beliau mendapati pohon-pohon seperti rebah mengadap perigi Bendang Daya dan airnya pula tiba-tiba membeku. Lalu pada malam yang berkat itu, Tok Bendang Daya I telah berdoa agar dikurniakan kepada 4 orang anak serta keturunan mereka menjadi ulama yang tiada putus hingga ke Kiamat.

6.       Empat anak Tok Bendang Daya I yang dimaksudkan ialah, Syeikh Wan Muhammad Zainal Abdin (Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani / Tok Guru Wan Din al-Fathani) bin Haji Syeikh Wan Mustaffa. Anaknya yang kedua pula, Syeikh Wan Abdul Kadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) bin Haji Syeikh Wan Mustaffa. Syeikh Wan Abdul Latif al-Fathani bin Haji Syeikh Wan Mustaffa (mengajar agama Islam di Bangkok). Syeikh Wan Daud al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) bin Haji Syeikh Wan Mustaffa yang mengajar di Mekah.


7.       Tok Bendang Daya II pula ialah Syeikh Wan Abdul Kadir al-Fathani juga dilantik sebagai Panglima Sultan Patani.  Setelah Tok Bendang Daya I meninggal dunia pada 1863, Tok Bendang Daya II Syeikh Wan Abdul Kadir telah meneruskan pengajaran agama Islam di Pondok Bendang Daya.


8.       Ketika Tok Bendang Daya II bertemu malam Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya, beliau mendoakan supaya dianugerahkan ulama  yang tidak putus dalam 7 keturunan zuriatnya.


9.       Anak Tok Bendang Daya II, Syeikh Wan Ismail al-Fathani (Pak De Eil Mekah) bin Syeikh Wan Abdul Qadir, mengajar di Mekah. Manakala Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani (Pak Cu Him Kedah) membuka Pondok Gajah Mati di Kedah.




10.   Telaga Laitul Qodar di Bendang Daya masih lagi kekal pada hari ini terus menyimpan kisah-kisah mereka yang pernah menggunakan airnya, termasuklah kedua orang Tok Bendang Daya, Hulubalang, Panglima serta ulama besar Patani tersebut.


11.   Antara tokoh ulama besar dari Patani yang menjadi rujukan di Mekah dan Timur Tengah ialah cucu Tok Bendang Daya I. Beliau ialah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani bin Syeikh Muhammad Zainal Abidin bin Haji Syeikh Wan Mustaffa. Syeikh Wan Ahmad al-Fathani juga merupakan rujukan kepada kerajaan Empayar Uthmaniyyah di Turki.


12.   Sehingga sekarang, masih ramai keturunan Tok Bendang Daya yang menjadi ulama dan mengajar agama dengan ikhlas dan redha.





Foto ihsan Baba Aseh dan Baba Baharin

Thursday, 2 June 2016

Iktibar Tragedi Kain Cindai 1758




1.       Banyak catatan menyebut tragedi perang saudara sebagai Perang Kota Kubang Labu 1758 atau Perang Kota Kubang Labu I. Kita tidak berminat untuk menyebut kisah ini sebagai perang. Cuma cukuplah untuk diambil iktibar dan pengajaran kisah sedih dalam kerabat diraja Patani tersebut.


2.       Untuk mengenali watak-watak dan orang-orang yang terlibat dalam sejarah tersebut, perlulah dikenali hubungan setiap daripada mereka supaya kisahnya bukan sekadar menjadi penceritaan kosong, tetapi untuk dihayati supaya ada pengajaran dapat diamati.


3.        Tuan Long Pandak bin Tuan Sulong, Raja Kota Kubang Labu 1756 – 1758. Baginda raja long Pandak ditabalkan oleh Tuan Long Deraman Raja Legeh setelah mangkatnya Raja Long Sulaiman pada 1756. Isteri baginda, Tuan Neng Mas (Tengku Tengah) binti Raja Long Bahar. Hubungan darah pasangan ini ialah sepupu, yang mana Tuan Sulong dan Raja Long Bahar adalah adik beradik berbapakan Raja Wan Daim.


4.       Tuan Neng Mas pula dipelihara oleh Tuan Long Nik Datu Pujut sebagai anak angkat kerana tidak mempunyai anak perempuan. Dalam masa yang sama, Tuan Neng Mas adalah anak saudara Datu Pujut.

5.       Putera-putera Tuan Long Nik yang Lain ialah Tuan Long Nuh, Tuan Long Man, Tuan Long Deraman dan Tuan Long Ghaffar. Hubungan putera Tuan Long Nik dengan Tuan Neng Mas dan Raja Long Pandak juga adalah sepupu.


6.       Tuan Long Nuh setelah dewasa diangkat sebagai Datu Pujut apabila Tuan Long Nik mangkat sekitar 1720-an dan diangkat sebagai Datu Pujut seterusnya menjadi Raja Patani 1749 – 1771. Tuan Long Man pula berhijrah ke Jala dan dirajakan di sana. Tuan Long Deraman pula dianugerahkan Legeh sebagai kawasan pentadbirannya.


7.       Sedangkan Tuan Long Ghaffar pula bersahabat baik dengan sepupunya, Tuan Long Yunus bin Raja Long Sulaiman. Mereka banyak merantau untuk mempelajari ilmu keduniaan dan ilmu agama. Kisah-kisah mereka berdua menjadi sulit untuk dicerita pada ruangan ini dan mungkin akan dilanjutkan pada masa depan.


8.       Suatu ketika, Tuan Long Ghaffar telah ke Kota Kubang Labu lalu berziarah adik angkatnya serta sepupunya itu. Namun semasa kedatangan beliau itu Raja Long Pandak tiada kerana ada urusan di luar kawasan.


9.       Ringkasnya, sebagai adik beradik angkat yang pernah membesar bersama, maka tidaklah keberatan untuk Tuan Long Ghaffar meminjamkan Kain Cindai ‘Chepa Melaka’ untuk disalin tenun oleh Tuan Neng Mas.


10.   Sekembalinya Raja Long Pandak, didapati terdapat Kain Cindai milik Tuan Long Ghaffar ditangan isteri baginda. Maka cemburu murkalah lalu dengan ammarah tanpa usul periksa dibunuhnya Tuan Neng Mas isteri baginda itu.


11.   Berita pembunuhan itu sampai kepada Tuan Long Ghaffar lalu dikhabarkan kepada Tuan Long Deraman Raja Legeh. Hal yang sangat rumit ini melibatkan pembunuhan kerabat diraja dan mempunyai talian persaudaraan yang kuat pula.


12.   Lalu Tuan Long Ghaffar sampaikan pula berita tersebut kepada Raja Long Nuh Raja Patani di Pujut.  Dititahkan pula supaya Tuan Long Deraman menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kesalahan pembunuhan tersebut.


13.   Kedatangan Tuan Long Deraman rupanya sudah ditunggu oleh Raja Long Pandak dan berlakulah penentangan. Dalam peristiwa serang menyerang itu, maka terbunuhlah Raja Long Pandak ditangan Tuan Long Deraman.


14.   Kecemburuan dan salah faham serta  tidak dapat mengawal kemarahan inilah yang menyebabkan nyawa yang tidak bersalah menjadi korban.  Hilang rasa hormat serta menjadi longgar ikatan silaturrahim menjadikan nafsu tergamak untuk membunuh.


15.   Adik Raja Long Pandak, Raja Long Muhammad diangkat pula oleh Tuan Long Deraman sebagai Raja Kubang Labu 1758 – 1763. Perlantikan tersebut membuktikan ketelusan terhadap kedamaian dan akur dengan perkara yang benar menyebabkan tiada perselisihan antara Tuan Long Muhammad dengan Tuan Long Deraman serta kaum kerabat keluarga mereka di Pujut.


16.   Jelas disini peranan Tuan Long Deraman di selatan Patani. Baginda bukan sahaja berfungsi sebagai Raja Legeh, bahkan baginda juga diberi kuasa untuk melantik raja dan pemimpin dalam negeri selatan Patani. Ianya buka satu tugas mudah tanpa ketegasan dan kemahiran mentadbir yang tinggi.


17.   Di sini dapat dilihat perbalahan ini berpunca daripada salah faham dan bukannya dalam erti kata perang saudara seperti yang difahamkan selama ini. Kita hanya dihidangkan tentang kisah kuasa tahta sahaja dalam kehidupan raja-raja Patani ini, tanpa kita kenali apakah amanah sebenar mereka. Dan siapakah pula penasihat agama kepada mereka dalam memastikan Patani sentiasa makmur dan subur dengan dakwah Islam selama ratusan tahun.


18.   Terlalu banyak tangan yang menconteng sejarah untuk meburukkan dan melaga-lagakan supaya bangsa ini dicemuh dan sentiasa berpecah belah selamanya. Ambillah iktibar.

Wednesday, 1 June 2016

Salasilah Tuan Tok Nik Tok Leh Raja Reman






1.       Sebelum ini kita menukilkan sejarah Asal Usul  Reman di: http://tikimambang.blogspot.my/2016/05/asal-usul-reman.html untuk mengetahui sejak bilakah wujudnya negeri bernama Reman dan untuk membezakannya dengan Pujut.


2.       Untuk cuba mengenali siapakah Tuan Tok Nik Tok Leh atau Tuan Mansur, Raja Reman, kita akan cuba mengaitkan baginda dengan beberapa individu yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Reman.


3.       Tuan Tok Nik Tok Leh diangkat sebagai Raja Reman pada sekitar tahun 1790-an. Baginda mangkat pada tahun 1836. Terdapat dakwaan bahawa Tuan Tok Nik Leh mempunyai pertalian dengan Datu Pujut.


4.       Terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa Tuan Tok Nik Tok Leh adalah Putera Datu Pujut.  Juga mengaitkan bahawa Tuan Long Ghaffar adalah putera Raja Reman. Untuk menilai kebenaran dakwaan ini, kita akan lihat beberapa hubungan mereka dengan Pujut.


5.       Di dalam Hikayat Patani ada menyetuh kejadian selisih faham antara Datuk Pengkalan Pauh dan Raja Sai. Kejadian itu menyaksikan campurtangan dan terbunuhnya Yang DiPertuan Alung Yunus Raja Patani ditangan Datuk Pengkalan Pauh. Ketika kejadian tersebut Datu Pujut sudah terlalu uzur dan tidak mampu bercakap. Kejadian ini berlaku sekitar tahun 1721.


6.       Datu Pujut itu ialah Tuan Long Nik atau Tuan Long Senik. Tuan Long Nik mempunyai empat putera. Tuan Long Nuh, Tuan Long Man, Tuan Long Deraman dan Tuan Long Ghaffar. Manakala, Puteri Neng Mas (Tengku Tengah) binti Raja Long Bahar, merupakan anak saudara juga anak angkat Tuan Long Nik.


7.       Gelaran Datu Pujut masih dapat dikesan sehinggalah penglibatan Datu Pujut dalam pemberontakan Datuk Pengakalan Raja Patani tahun 1808. Ini menunjukkan bahawa dalam tahun tersebut Pujut masih lagi sebuah pentadbiran berasingan dengan Reman.


8.       Tuan Long Nik Datu Pujut, setelah dewasa dan berkahwin pada tahun 1686 dan mangkat pada sekitar 1720-an. Gelaran Datu Pujut masih wujud pada 1808. Manakala Tuan Long Ghaffar pula terlibat dengan peristiwa berdarah yang melibatkan Puteri Neng Mas dan Raja Long Pandak pada 1758. Pada Tahun 1763 pula, Tuan Long Ghaffar telah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelantan oleh Sultan Long Yunus. Tuan Long Ghaffar mangkat pada 1794. Pada ketika itu, Reman masih pentadbiran berasingan daripada Pujut. (Raja Long Nuh, Datu Pujut menggantukan Tuan Long Nik selepas 1720. Baginda diangkat sebagai Raja Patani 1749 – 1771 dan terus memerintah Patani dari Pujut).  Dengan ini jelas bahawa dakwaan Tuan Long Ghaffar adalah putera Raja Reman adalah sebuah kekhilafan awal.


9.       Di dalam pengkajian disebut bahawa diantara 4 putera Tuan Long Nik, hanya Tuan Long Man yang usianya antara 100 - 120 tahun.  Raja Long Nuh dan Tuan Long Ghaffar, usia sekitar 80 hingga 90 tahun.  Manakala Tuan Long Deraman ketika dibunuh 1763, berusia antara 30 hingga 40 tahun.


10.   Tuan Tok Nik Tok Leh Raja Reman pertama pula mangkat pada 1836. Umur Tuan Long Nik Leh adalah dilihat sebaya dengan usia cucu-cucu Tuan Long Nik Datu Pujut. Jika dilihat dari perbezaan umur yang cukup ketara ini, untuk mengaitkan Tuan Tok Nik Leh sebagai putera Tuan Long Nik adalah tidak munasabah pada fikiran manusia. Bahkan riwayat berkaitan anak cucu keturunan Tuan Long Nik pula, mencatatkan bahawa hanya 4 putera itulah zuriat Tuan Long Nik.


11.   Jika kaitan darah antara Tuan Tok Nik Tok Leh dengan Datu Pujut dikatakan masih kuat, mentahkiqkan Tuan Tok Nik Tok Leh sebagai cucu adalah suatu yang munasabah.  Hanya dua putera dari Tuan Long Nik yang boleh dikaitkan dengan salasilah Raja Reman ini. Mereka ialah Raja Long Nuh Datu Pujut dan Raja Patani dan Tuan Long Man Raja Jala kerana keturunan mereka masih samar-samar.


12.   Raja Long Nuh didakwa mempuyai putera benama Raja Bakar dan cucunya Raja Muhammad. Masih ramai lagi yang mendakwa mempunyai hubungan sebagai anak cucu keturunan beliau. Manakala Tuan Long Man pula hanya diketahui mempunyai putera bernama Tuan Bangkok dan Tuan Senik.  Putera-putera mereka yang lain tenggelam dalam lipatan sejarah.


13.   Negeri-negeri Patani di sebelah selatan dan barat seperi sempadan Kelantan dan Perak (Legeh) dan sempadan Kedah pula Jala,  adalah dikuasai oleh keturunan Tuan Long Nik. Hanya Reman sahaja tidak dapat dinyatakan secara fakta, tetapi mungkin boleh diterima secara lisan kaitan antara Pujut dan Reman.


14.   Terserahlah kepada keturunan Raja-Raja Reman untuk mentahkiq nasab salasilah keturunan mereka. Semoga ada sedikit cahaya untuk menjelaskan salasilah keturunan dari tanah Hadrami itu.


Asal Usul Negeri Legeh



1.       Menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, legeh atau legih ialah rabung yang memisahkan dua sistem saliran atau tanah tinggi yang memisahkan dua hulu sungai atau lebih. Pokok legih pula boleh dijadikan sejenis cenduai untuk kegunaan tradisonal tertentu. Misteri perkataan legeh tidak diketahui kecuali oleh mereka yang mula-mula mendiami kawasan berkenaan.


2.       Syeikh Ali al-Masyhur al-Laqihi adalah orang yang sama dengan Sayyid Ali Nurul Alam atau Syeikh Ali Alim. Banyak nama gelar yang diberikan kepada pendakwah dan juga pemimpin besar ini. Beliau dikatakan putera kepada Sayyid Hussein Jamaluddin al-Kubro dan Puteri Syahirah (Puteri Selindung Bulan bin Sultan Baqi Syah). Beliau mendalami ilmu agama dengan bapa saudaranya di Patani sehinggalah ke Timur Tengah. Tiada riwayat jelas tentang penganjian ilmu beliau.


3.       Sayyid Ali Nurul Alam kemudiannya membuka Legeh pada abad ke-15 masehi dan memulakan dakwah di sana. Terdapat dakwaan kawasan asal yang dibuka itu ialah sebuah penempatan di Jeli. Setelah Sayyid Ali diberi peranan sebagai Perdana Menteri kerajaan Chermin, dakwah di Legeh diteruskan pula oleh putera bongsunya, Syeikh Wan Muhammad Shalih al-Laqihi.


4.       Sultan Umar, Raja Jembal 1676 – 1721, telah menyerahkan Kota Bukit Jarum, Pasir Mas di Legeh kepada Tuan Long Bahar setelah mengahwinkan dengan puteri baginda Raja Pah. Setelah Raja Long Bahar ditabalkan sebagai Raja Jembal pada 1721, tiada catatan atau rekod yang menunjukkan Raja Legeh selepas baginda. Ini berkemungkinan Legeh adalah dibawah pentadbiran terus oleh Raja Jembal.


5.       Legeh bagaimana pun telah ditadbir oleh anak saudara Raja Long Bahar, Tuan Long Deraman (Raja Abdul Rahman) bin Tuan Long Nik. Setelah Tuan Long Deraman mangkat semasa perang saudara 1735, Legeh ditadbir pula oleh Tuan Long Nik. Tuan Long Nik, Raja Legeh ialah putera Tuan Long Deraman dan Tuan Wan Kembang binti Raja Long Sulaiman.


6.       Legeh semasa pemerintahan Tuan Long Deraman bersempadan dengan Jembal di Kota Kubang Labu. Sebelah baratnya bersempadan dengan Reman, utaranya pula ialah Pujut dan Sai di timur laut. Grik di Perak sekarang adalah sebahagian negeri Legeh pada masa dahulu.


7.       Kedaulatan dan kekuatan Legeh berakhir di zaman Tuan Nik Dah (Nik Diah), Raja Legeh terakhir terpaksa berundur dalam perang besar meletus antara Patani dan Siam-Thai 1832. Tuan Nik Diah Raja Legeh, Tuan Nik Dih Raja Nongcik, Tuan Kundur Raja Jala dan Tuan Sulong Raja Patani bersama tentera negeri masing-masing telah berjuang berhabisan mempertahankan Patani. Raja-Raja dari empat negeri Patani itu telah bersatu dengan Tengku Kudin putera Raja Kedah dalam peperangan tersebut. Turut membantu ialah 5,000 tentera dari Terengganu dan 3,000 tentera dari Kelantan. Bagaimana pun, tentera Siam dari gabungan Chenak, Singgora, Ligor dan Bangkok jauh melebihi jumlah tentera Melayu. Syahidnya Tengku Kudin di Kedah menyebabkan pertahahanan tentera Kedah lumpuh.  Tuan Nik Dih Raja Nongcik juga turut mangkat dan akhirnya tentera Melayu terpaksa berundur untuk menyusun strategi dari luar Patani.


8.       Setelah berundurnya Tuan Nik Dah dari Legeh, Nai Phya telah melantik orang kepercayaan dan setia kepadanya, Nik Bongsu menjadi Raja Legeh. Nik Bongsu memindahkan pusat pentadbiran Legeh ke Tanjung Mas.


9.       Negeri Legeh yang dibuka oleh alim ulama yang mulia serta pernah mempunyai raja-raja yang tegas dan berani, akhirnya tumbang ke tangan kafir Siam akibat tiada penyatuan serta pengkhianatan terhadap saudara, bangsa dan agama sendiri. Nama Legeh semakin pudar setelah masyhur selama hampir 300 tahun sebagai salah satu pusat dakwah di Patani.


10.   Akhirnya setelah penguasaan Siam-Thai, nama Legeh sebagai sebuah negeri berdaulat di dalam Patani semakin mengecil, ditukar kepada Teluban dan Menara. Tinggallah Legeh menjadi sejarah yang semakin dilupakan ditelan masa.