Thursday, 2 June 2016

Iktibar Tragedi Kain Cindai 1758




1.       Banyak catatan menyebut tragedi perang saudara sebagai Perang Kota Kubang Labu 1758 atau Perang Kota Kubang Labu I. Kita tidak berminat untuk menyebut kisah ini sebagai perang. Cuma cukuplah untuk diambil iktibar dan pengajaran kisah sedih dalam kerabat diraja Patani tersebut.


2.       Untuk mengenali watak-watak dan orang-orang yang terlibat dalam sejarah tersebut, perlulah dikenali hubungan setiap daripada mereka supaya kisahnya bukan sekadar menjadi penceritaan kosong, tetapi untuk dihayati supaya ada pengajaran dapat diamati.


3.        Tuan Long Pandak bin Tuan Sulong, Raja Kota Kubang Labu 1756 – 1758. Baginda raja long Pandak ditabalkan oleh Tuan Long Deraman Raja Legeh setelah mangkatnya Raja Long Sulaiman pada 1756. Isteri baginda, Tuan Neng Mas (Tengku Tengah) binti Raja Long Bahar. Hubungan darah pasangan ini ialah sepupu, yang mana Tuan Sulong dan Raja Long Bahar adalah adik beradik berbapakan Raja Wan Daim.


4.       Tuan Neng Mas pula dipelihara oleh Tuan Long Nik Datu Pujut sebagai anak angkat kerana tidak mempunyai anak perempuan. Dalam masa yang sama, Tuan Neng Mas adalah anak saudara Datu Pujut.

5.       Putera-putera Tuan Long Nik yang Lain ialah Tuan Long Nuh, Tuan Long Man, Tuan Long Deraman dan Tuan Long Ghaffar. Hubungan putera Tuan Long Nik dengan Tuan Neng Mas dan Raja Long Pandak juga adalah sepupu.


6.       Tuan Long Nuh setelah dewasa diangkat sebagai Datu Pujut apabila Tuan Long Nik mangkat sekitar 1720-an dan diangkat sebagai Datu Pujut seterusnya menjadi Raja Patani 1749 – 1771. Tuan Long Man pula berhijrah ke Jala dan dirajakan di sana. Tuan Long Deraman pula dianugerahkan Legeh sebagai kawasan pentadbirannya.


7.       Sedangkan Tuan Long Ghaffar pula bersahabat baik dengan sepupunya, Tuan Long Yunus bin Raja Long Sulaiman. Mereka banyak merantau untuk mempelajari ilmu keduniaan dan ilmu agama. Kisah-kisah mereka berdua menjadi sulit untuk dicerita pada ruangan ini dan mungkin akan dilanjutkan pada masa depan.


8.       Suatu ketika, Tuan Long Ghaffar telah ke Kota Kubang Labu lalu berziarah adik angkatnya serta sepupunya itu. Namun semasa kedatangan beliau itu Raja Long Pandak tiada kerana ada urusan di luar kawasan.


9.       Ringkasnya, sebagai adik beradik angkat yang pernah membesar bersama, maka tidaklah keberatan untuk Tuan Long Ghaffar meminjamkan Kain Cindai ‘Chepa Melaka’ untuk disalin tenun oleh Tuan Neng Mas.


10.   Sekembalinya Raja Long Pandak, didapati terdapat Kain Cindai milik Tuan Long Ghaffar ditangan isteri baginda. Maka cemburu murkalah lalu dengan ammarah tanpa usul periksa dibunuhnya Tuan Neng Mas isteri baginda itu.


11.   Berita pembunuhan itu sampai kepada Tuan Long Ghaffar lalu dikhabarkan kepada Tuan Long Deraman Raja Legeh. Hal yang sangat rumit ini melibatkan pembunuhan kerabat diraja dan mempunyai talian persaudaraan yang kuat pula.


12.   Lalu Tuan Long Ghaffar sampaikan pula berita tersebut kepada Raja Long Nuh Raja Patani di Pujut.  Dititahkan pula supaya Tuan Long Deraman menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kesalahan pembunuhan tersebut.


13.   Kedatangan Tuan Long Deraman rupanya sudah ditunggu oleh Raja Long Pandak dan berlakulah penentangan. Dalam peristiwa serang menyerang itu, maka terbunuhlah Raja Long Pandak ditangan Tuan Long Deraman.


14.   Kecemburuan dan salah faham serta  tidak dapat mengawal kemarahan inilah yang menyebabkan nyawa yang tidak bersalah menjadi korban.  Hilang rasa hormat serta menjadi longgar ikatan silaturrahim menjadikan nafsu tergamak untuk membunuh.


15.   Adik Raja Long Pandak, Raja Long Muhammad diangkat pula oleh Tuan Long Deraman sebagai Raja Kubang Labu 1758 – 1763. Perlantikan tersebut membuktikan ketelusan terhadap kedamaian dan akur dengan perkara yang benar menyebabkan tiada perselisihan antara Tuan Long Muhammad dengan Tuan Long Deraman serta kaum kerabat keluarga mereka di Pujut.


16.   Jelas disini peranan Tuan Long Deraman di selatan Patani. Baginda bukan sahaja berfungsi sebagai Raja Legeh, bahkan baginda juga diberi kuasa untuk melantik raja dan pemimpin dalam negeri selatan Patani. Ianya buka satu tugas mudah tanpa ketegasan dan kemahiran mentadbir yang tinggi.


17.   Di sini dapat dilihat perbalahan ini berpunca daripada salah faham dan bukannya dalam erti kata perang saudara seperti yang difahamkan selama ini. Kita hanya dihidangkan tentang kisah kuasa tahta sahaja dalam kehidupan raja-raja Patani ini, tanpa kita kenali apakah amanah sebenar mereka. Dan siapakah pula penasihat agama kepada mereka dalam memastikan Patani sentiasa makmur dan subur dengan dakwah Islam selama ratusan tahun.


18.   Terlalu banyak tangan yang menconteng sejarah untuk meburukkan dan melaga-lagakan supaya bangsa ini dicemuh dan sentiasa berpecah belah selamanya. Ambillah iktibar.

No comments:

Post a Comment