Thursday, 23 June 2016

Masjid Kampung Tuan Kemaman Dan Perang Patani 1832

Foto Lama Masjid Kampung Tuan


1.       Masjid yang masih wujud dan dapat disaksikan lagi pada hari ini di Bandar Chukai, Kemaman, adalah salah sebuah masjid paling tua yang wujud di Terengganu. Lokasi masjid ini adalah berhampiran Sungai Limbong dan berada di Kampung Tuan dalam Bandar Chukai.


2.       Dengan saiz 9.14 meter x 9.14 meter dan mempunyai tingkap bersaiz 60 sentimeter tanpa pintu ini, dibina hanya dari sebatang kayu cengal dari kawasan hutan berhampiran di zaman awal pembukaannya.


3.       Menurut salah seorang waris keturunan ini, Wan Jaafar bin Wan Hassan bin Syeikh Abdul Samad. Beliau adalah generasi ke empat dari keturunan pembina masjid tersebut. Menurutnya,  masjid ini asalnya ialah sebuah surau yang dibina bagi tujuan penyebaran agama dan pusat tasauf bagi penduduk setempat di Kemaman.


4.       Menurut cerita, masjid ini dibina dalam tahun 1830 oleh Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Abdul Samad al-Falimbani. Syeikh Abdul Rahman juga dikenali sebagai Tuan Mandak. Seperti ayahnya, Tuan Mandak adalah seorang ulama sufi yang turut berjuang menegakkan Islam di medan jihad dan juga menyebarkan dakwah agama. Beliau berundur ke Kemaman setelah bapanya, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani syahid di Patani dalam peperangan menentang Siam-Thai.


5.       Dalam tahun 1831, Tengku Kudin (Tunku Zainal Abidin bin Tunku Radin Muhammad) telah mula memimpin orang Melayu Kedah menentang penaklukan Siam di Kedah bermula tahun 1824. Berbagai kejayaan besar bagi orang Melayu Kedah telah dicapai dalam menyekat pengaruh Siam, semasa pimpinan Tengku Kudin sehingga 1829.


6.       Pada 1831, Tuan Sulong (Raja Patani), Tuan Kundur (Raja Jala),Tuan Kecik (Raja Nongcik), Nik Dih (Raja Sai) dan Nik Dah (Raja Legeh) telah memimpin tentera Patani dan bergabung dengan Kedah yang dipimpin oleh Tengku Kudin menentang kemaraan tentera Siam untuk menjajah negeri Melayu. Sultan Umar (Sultan Terengganu) telah menghantar lima orang panglima bersama 5,000 tentera. Manakala Sultan Muhammad I (Sultan Kelantan) telah mengirim 3,000 tentera yang dipimpin oleh Raja Kampung Laut.


7.       Pada bulan Oktober 1831, Tengku Kudin telah terkorban dalam serangan hendap Siam di Kedah. Ini menyebabkan pasukan Melayu Kedah kucar kacir dan terpaksa berundur. Tinggalah tentera Patani yang dipimpin oleh 5 raja mereka bersama tentera Kedah dan Kelantan, yang bertahan dari asakan dengan penambahan tentera Siam-Thai dari Bangkok.


8.       Dalam peperangan inilah, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani juga telah gugur syahid dan dikebumikan di Patani. Pasukan gabungan dari Patani, Kelantan dan Terenganu terpaksa berundur pada Februari 1832. Dan pada dalam tahun inilah Tuan Mandak (Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Abdul Rahman al-Falimbani) telah berundur ke Kemaman.


9.       Kedatangan rombongan Tuan Mandak adalah dari kelompok besar yang  kedua kemudian daripada Lebai Saras yang berundur dari Patani ke Kemaman pada tahun 1785, semasa kali pertama kejatuhan Patani kepada Siam. Lebai Saras adalah pembuka Kemaman yang pertama. Kemudian Kemaman turut menerima pengunduran bangsawan Johor yang kalah dalam perang saudara di sana dalam awal abad ke-19.


10.   Kemaman juga turut menerima pengunduran Kerabat Diraja Jambi pada awal abad ke-20 akibat perang saudara dan kesan kolonial Belanda di sana.


11.   Masjid Kampung Tuan, selain atap genting empat lapis yang dibawa daripada Patani itu juga mempunyai replika buah butung yang diperbuat daripada tembaga. Replika buah butung itu juga dibawa dari Patani, kerana kerja-kerja menyiapkan Masjid Kerisek yang dibina oleh Sultan Muzaffar Shah pada 1514 itu tidak pernah berjaya. Dikatakan Masjid Kerisek runtuh dalam perang Siam-Patani 1785. Semenjak itu, Siam sering sahaja mengganggu apa jua aktiviti di masjid tersebut. Oleh itu, buah butung tersebut telah dibawa ke Kemaman untuk diletakkan di Masjid Kampung Tuan. Cuma tarikhnya tidak dapat dipastikan sama ada pada tahun 1832 atau selepas daripada itu.


12.   Selepas Tuan Mandak meninggal dunia, anaknya, Tuan Wok (Syeikh Abdul Samad bin Syeikh Abdul Rahman) telah menaiktaraf surau kepada masjid kerana keperluan masyarakat setempat untuk solat Jumaat. Masjid ini juga turut digunakan oleh ramai ulama Terengganu dan Nusantara termasuklah pejuang Terengganu, Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid (Haji Abdul Rahman Limbong 1868 – 1929). Haji Abdul Rahman Limbong berjuang menentang penjajahan Inggeris dan dibuang negeri ke Mekah pada 1928. Datuk dan nenek Haji Abdul Rahman Limbong juga berasal dari Patani.


13.   Masjid ini walaupun sudah tidak digunakan untuk solat Jumaat pada masa sekarang, tetapi masih terus dikunjungi orang ramai untuk menunaikan solat 5 waktu. Pada bulan Ramadhan pula, Masjid Kampung Tuan ini menjadi lebih hidup dan meriah apabila penduduk setempat membanjirinya untuk menunaikan solat sunat teraweh.

Lokasi Masjid Kampung Tuan



14.   Sudah sepatutnya masjid ini menjadi tanda sejarah bagi penduduk Kemaman dan warga Terengganu amnya, untuk menilai kembali hubungan persaudaraan dan ukhuwah silaturrahim antara Patani dan Kemaman suatu masa dahulu dan sekarang. Begitu juga mereka yang mempunyai hubungan darah dengan watan Patani juga harus mengambil sejarah ini sebagai satu pelajaran yang bermakna.





 




No comments:

Post a Comment