Wednesday, 22 June 2016

Hubungan Kelantan-Patani Sebelum 1909



1.       Patani dan Kelantan adalah sebuah entiti yang sama semenjak zaman Langkasuka lagi. Setelah lenyapnya Langkasuka, muncul pula nama Chermin atau Waruwari bagi kedua buah negeri yang sempadan negerinya dicipta oleh Inggeris dan Siam-Thai pada abad ke-20.


2.       Nama Patani sangat masyhur ketika itu kerana pembabitan ulamanya dalam penyebaran dakwah Islam ke seluruh Nusantara semenjak abad ke- 15 lagi. Di era abad ke-17 pula, Patani menjadi sebuah negeri pelabuhan penting setelah kejatuhan sebahagian Melaka pada 1511.


3.       Apa yang sebenarnya, kemasyhuran ulama-ulama al-Fathani yang berdakwah ke seluruh pelusuk Nusantara sehinggalah ke Mekah, adalah punca utama nama Patani menjadi sangat masyhur . Ini menyebabkan nama Kelantan, yang merupakan sebahagian Patani sebelum abad ke-18, seakan hampir tenggelam dalam peranannya yang sama penting dengan Patani di rantau ini ketika itu.


4.       Sejarah awal Raja-Raja Langkasuka dan Raja-Raja Chermin, menunjukkan bahawa mereka  adalah pemerintah yang sama bagi kedua negeri Patani dan Kelantan tersebut. Raja-Raja yang memerintah di kota-kota atau disebut juga negeri merupakan wakil-wakil kepada kerajaan pusat atau persekutuan, sama ada semasa era Langkasuka mahu pun Chermin.


5.       Sejarah kita telah ditulis semula oleh musuh yang menjajah menjadikannya tidak menarik untuk dibincangkan, atau pun sangat rumit untuk dimuktamadkan. Ianya ialah bertujuan supaya anak watan tidak lagi mengenal jatidiri, salasilah keturunan, sejarah bangsa serta mudah diperdaya dan terus lemah untuk dijajah minda mereka.


6.       Namun kita masih bernasib baik, melalui kesedaran yang muncul dari cerita lisan orang tua-tua dan pengkajian masalah semasa yang berlaku dalam masyarakat dan agama, kita tidak mudah terpengaruh dengan tulisan keliru tinggalan penjajah. Bagaimana pun, sebahagian tulisan tersebut masih lagi boleh menjadi asas rujuk silang untuk mencari fakta sebenar.


7.       Setelah berakhirnya Kesultanan Kelantan dari keturunan raja-raja purbakala pada penghujung abad ke-16, Kelantan diperintah oleh Sultan-Sultan dari Keturunan Patani-Champa yang bermula daripada Sultan Adiluddin bin Wan Abul Muzaffar. Keturunan inilah yang menurunkan raja-raja Kelantan sehinggalah kepada Raja Sakti yang menyelamatkan Patani dari ancaman Siam.


8.       Pada abad ke-17, Raja Sakti bin Sultan Abdul Kadir dari Kerajaan Jembal di Kelantan, merupakan raja yang pertama memerintah kedua-dua negeri, Patani dan Kelantan. Raja Sakti mengambil tampuk pemerintahan Patani pada 1649 bukan kerana dasar penjajahan atau perebutan kuasa.


9.        Patani pada masa itu hanya ditadbir oleh pembesar-pembesar yang tergolong dari golongan ulama. Golongan pembesar Patani inilah yang menabalkan Raja sakti sebagai Raja Patani serta negeri naungannya setelah berjaya mengusir Siam yang cuba mengganggu rakyat Patani.


10.   Pada abad ke-18 pula, sultan-sultan dari Dinasti Patani pula mengambil alih kerajaan Kelantan, setelah mangkatnya Sultan Umar bin Raja Sakti, dari Dinasti Kerajaan Jembal Kelantan. Keturunan Raja Patani yang pertama tersebut ialah Raja Long Bahar bin Raja Wan Daim.


11.   Abad ke-19 dan ke-20 pula, keturunan Raja Patani dari Kelantan pula diangkat sebagai Raja Patani sehinggalah Sultan Abdul Kadir Kamaruddin disingkirkan oleh kerajaan Siam-Thai pada 1902.


12.   Sepertimana kerajaan purba dahulu kala yang memerintah Kelantan dan Patani adalah dari sebuah keluarga yang sama penghujung abad ke-17, begitu juga pemerintahan Kelantan-Patani setelah berakhirnya dinasti pemerintahan mereka.


13.   Dinasti Jembal Kelantan dimulakan dengan Sultan Adiluddin bin Wan Abul Muzaffar (1579 – 1605) manakala Dinasti Patani pula bermula dengan Wan Nik (Datuk Wan) bin Faqih Ali al-Malbari bin Sultan Abdul Hamid Syah (Datuk Nik Mustaffa) bin Wan Abul Muzaffar (1671 – 1688).


14.   Dari keturunan Wan Nik pula melahirkan Raja Wan Daim bin Wan Nik (Raja Champa 1684 - 1692), Raja Long Bahar bin Wan Daim (Raja Jembal Kelantan 1721 - 1734), Sultan Haji Yunus bin Raja Long Bahar (Raja Patani 1746 - 1749), Raja Long Nuh bin Tuan Long Nik bin Raja Wan Daim (Raja Patani 1749 - 1771), Raja Bakar bin Raja Long Nuh (Raja Patani 1771 – 1774) serta ramai lagi.


15.   Keturunan Raja Wan Daim bin Datuk Wan yang memerintah di Patani berakhir semasa pemerintahan Sultan Abdul Kadir Kamaruddin (1899 – 1902), yang dimansuhkan oleh Siam-Thai.


16.   Di Kelantan pula, Keturunan Raja Wan Daim bin Datuk Wan yang terakhir sebagai Sultan Kelantan ialah Sultan Muhammad II (Sultan Mulut Merah 1836 - 1886), apabila menantu baginda, putera Raja Terengganu, mengangkat diri sebagai Sultan Kelantan setelah kemangkatan Marhum Mulut Merah pada 1886.


17.   Sebenarnya, Kelantan dan Patani adalah asalnya dari sebuah negeri yang sama sebelum dipecahkan oleh penjajah Siam-Thai dan Inggeris. Setelah Patani dijajah oleh Siam, ramai ulama-ulama Patani telah berpindah ke Kelantan yang menjadikan Kelantan pula adalah Chermin kepada Patani. Setelah berakhirnya dinasti raja-raja purba, Kelantan dan Patani telah ditadbir oleh golongan ulama dan raja dari keturunan Sayyid Ahmad Jalaluddin menerusi anaknya Sayyid Hussin Jamadil Kubro.


18.   Pernah antara tahun 1663 dan 1667, kedua-dua Patani dan Kelantan tidak mempunyai raja atau sultan. Ini kerana pada masa itu kedua-duanya diperintah oleh golongan pembesar dan ulama.


19.   Antara tahun 1739 dan 1746 juga menyaksikan sekali lagi kedua-dua Kelantan dan Patani diperintah oleh golongan pembesar. Tetapi pada kali ini telah berlaku perebutan kuasa, terutama jawatan Bendahara. Menerusi camputangan golongan ulama yang melantik Sultan Patani, baharulah negeri Patani dan Kelantan itu kembali pulih dan makmur.


20.   Perebutan kuasa dan kekacauan pentadbiran itu adalah satu konspirasi terancang yang diadakan oleh Siam dalam usaha melemah dan menakluk Patani. Ketika itu Patani sangat maju serta banyak sumber kekayaan utama mudah didapati di sana. Sedangkan Siam sering diganggu oleh Pegu (Burma/Myanmar) dan Kemboja. Siam semejak dari awal lagi sentiasa bernafsu untuk menguasai negeri pelabuhan dan meluaskan takluk kuasa mereka di rantau Indochina.


21.   Pengaruh Patani terhadap Kelantan semakin merosot setelah Kelantan dipengaruhi oleh kerajaan Johor menerusi negeri Terengganu. Akhirnya dengan sokongan Terengganu, Tuan Long Yunus bin Raja Long Sulaiman telah diangkat sebagai Yang DiPertuan Kelantan pada 1765. Semenjak itu Patani telah dipinggirkan oleh Kelantan. Namun begitu, hubungan persaudaraan Kelantan dan Patani terus wujud, baik hubungan kerabat diraja mahupun rakyat kebanyakan.


22.   Hubungan persaudaraan tersebut terus wujud sehinggalah dalam menghulurkan bantuan Perang Kedah-Patani, Kelantan dan Terengganu pada 1831-1832. Bahkan majoriti ulama Kelantan adalah berasal dari Patani yang berundur semenjak perang Siam-Patani 1785, 1832 dan 1838. Begitu juga Jeli dan Pasir Mas juga adalah pada masa dahulu adalah sebahagian negeri Legeh yang diambil alih oleh Kelanta secara beransur-ansur bermula pada era pemerintahan Yang DiPertuan Long Yunus (1765 – 1795).


23.   Kini semangat kenegerian atau nasionalisma telah berjaya diterap kepada anak negeri. Ini menyebabkan taksubnya kepada semangat negeri yang dihuni. Ahli sejarah tempatannya pula hanya berusaha mengangkat nama negeri yang dihuni, sedangkan mereka masih teraba dalam kegelapan dalam usaha cuba meneka tulisan penjajah sebagai rujukan primer mereka.


24.   Mengasingkan sejarah dan hubungan Kelantan dan Patani ini membawa kerugian kepada sejarah sebenar hubungan kedua-dua negeri tersebut. Selain itu hubungan persaudaraan rakyat kedua negeri tersebut juga semakin terpinggir kerana terpengaruh dengan system sempadan yang diwujudkan semenjak 1909.


25.   Hari ini, ulama-lama Patani masih menjadi rujukan ramai walaupun nama mereka terpingir dan kurang masyhur kerana masalah politik yang dicipta di bumi Patani (Patani, Singgora, Sai, Legeh, Reman, Jala, Nongcik dan seluruh tanah milik Melayu yang pernah membentuk persekutuan Patani Raya).

No comments:

Post a Comment