Wednesday, 1 June 2016

Salasilah Tuan Tok Nik Tok Leh Raja Reman






1.       Sebelum ini kita menukilkan sejarah Asal Usul  Reman di: http://tikimambang.blogspot.my/2016/05/asal-usul-reman.html untuk mengetahui sejak bilakah wujudnya negeri bernama Reman dan untuk membezakannya dengan Pujut.


2.       Untuk cuba mengenali siapakah Tuan Tok Nik Tok Leh atau Tuan Mansur, Raja Reman, kita akan cuba mengaitkan baginda dengan beberapa individu yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Reman.


3.       Tuan Tok Nik Tok Leh diangkat sebagai Raja Reman pada sekitar tahun 1790-an. Baginda mangkat pada tahun 1836. Terdapat dakwaan bahawa Tuan Tok Nik Leh mempunyai pertalian dengan Datu Pujut.


4.       Terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa Tuan Tok Nik Tok Leh adalah Putera Datu Pujut.  Juga mengaitkan bahawa Tuan Long Ghaffar adalah putera Raja Reman. Untuk menilai kebenaran dakwaan ini, kita akan lihat beberapa hubungan mereka dengan Pujut.


5.       Di dalam Hikayat Patani ada menyetuh kejadian selisih faham antara Datuk Pengkalan Pauh dan Raja Sai. Kejadian itu menyaksikan campurtangan dan terbunuhnya Yang DiPertuan Alung Yunus Raja Patani ditangan Datuk Pengkalan Pauh. Ketika kejadian tersebut Datu Pujut sudah terlalu uzur dan tidak mampu bercakap. Kejadian ini berlaku sekitar tahun 1721.


6.       Datu Pujut itu ialah Tuan Long Nik atau Tuan Long Senik. Tuan Long Nik mempunyai empat putera. Tuan Long Nuh, Tuan Long Man, Tuan Long Deraman dan Tuan Long Ghaffar. Manakala, Puteri Neng Mas (Tengku Tengah) binti Raja Long Bahar, merupakan anak saudara juga anak angkat Tuan Long Nik.


7.       Gelaran Datu Pujut masih dapat dikesan sehinggalah penglibatan Datu Pujut dalam pemberontakan Datuk Pengakalan Raja Patani tahun 1808. Ini menunjukkan bahawa dalam tahun tersebut Pujut masih lagi sebuah pentadbiran berasingan dengan Reman.


8.       Tuan Long Nik Datu Pujut, setelah dewasa dan berkahwin pada tahun 1686 dan mangkat pada sekitar 1720-an. Gelaran Datu Pujut masih wujud pada 1808. Manakala Tuan Long Ghaffar pula terlibat dengan peristiwa berdarah yang melibatkan Puteri Neng Mas dan Raja Long Pandak pada 1758. Pada Tahun 1763 pula, Tuan Long Ghaffar telah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelantan oleh Sultan Long Yunus. Tuan Long Ghaffar mangkat pada 1794. Pada ketika itu, Reman masih pentadbiran berasingan daripada Pujut. (Raja Long Nuh, Datu Pujut menggantukan Tuan Long Nik selepas 1720. Baginda diangkat sebagai Raja Patani 1749 – 1771 dan terus memerintah Patani dari Pujut).  Dengan ini jelas bahawa dakwaan Tuan Long Ghaffar adalah putera Raja Reman adalah sebuah kekhilafan awal.


9.       Di dalam pengkajian disebut bahawa diantara 4 putera Tuan Long Nik, hanya Tuan Long Man yang usianya antara 100 - 120 tahun.  Raja Long Nuh dan Tuan Long Ghaffar, usia sekitar 80 hingga 90 tahun.  Manakala Tuan Long Deraman ketika dibunuh 1763, berusia antara 30 hingga 40 tahun.


10.   Tuan Tok Nik Tok Leh Raja Reman pertama pula mangkat pada 1836. Umur Tuan Long Nik Leh adalah dilihat sebaya dengan usia cucu-cucu Tuan Long Nik Datu Pujut. Jika dilihat dari perbezaan umur yang cukup ketara ini, untuk mengaitkan Tuan Tok Nik Leh sebagai putera Tuan Long Nik adalah tidak munasabah pada fikiran manusia. Bahkan riwayat berkaitan anak cucu keturunan Tuan Long Nik pula, mencatatkan bahawa hanya 4 putera itulah zuriat Tuan Long Nik.


11.   Jika kaitan darah antara Tuan Tok Nik Tok Leh dengan Datu Pujut dikatakan masih kuat, mentahkiqkan Tuan Tok Nik Tok Leh sebagai cucu adalah suatu yang munasabah.  Hanya dua putera dari Tuan Long Nik yang boleh dikaitkan dengan salasilah Raja Reman ini. Mereka ialah Raja Long Nuh Datu Pujut dan Raja Patani dan Tuan Long Man Raja Jala kerana keturunan mereka masih samar-samar.


12.   Raja Long Nuh didakwa mempuyai putera benama Raja Bakar dan cucunya Raja Muhammad. Masih ramai lagi yang mendakwa mempunyai hubungan sebagai anak cucu keturunan beliau. Manakala Tuan Long Man pula hanya diketahui mempunyai putera bernama Tuan Bangkok dan Tuan Senik.  Putera-putera mereka yang lain tenggelam dalam lipatan sejarah.


13.   Negeri-negeri Patani di sebelah selatan dan barat seperi sempadan Kelantan dan Perak (Legeh) dan sempadan Kedah pula Jala,  adalah dikuasai oleh keturunan Tuan Long Nik. Hanya Reman sahaja tidak dapat dinyatakan secara fakta, tetapi mungkin boleh diterima secara lisan kaitan antara Pujut dan Reman.


14.   Terserahlah kepada keturunan Raja-Raja Reman untuk mentahkiq nasab salasilah keturunan mereka. Semoga ada sedikit cahaya untuk menjelaskan salasilah keturunan dari tanah Hadrami itu.


No comments:

Post a Comment