Monday 27 June 2016

Tok Guru Haji Abas: Guru Agama Dan Pejuang Rakyat



1.       Tok Guru Haji Abas bin Muhammad dilahirkan dalam tahun 1909 (1327H) di Kampung Bukit Puteri dalam daerah Besut, negeri Terengganu. Bapa dan datuknya pula dilahirkan di negeri Jala, dalam Patani.


2.       Dalam usianya baru 14 tahun, beliau telah dikesan mempunyai daya ingatan yang kuat dalam segala ilmu yang telah dipelajarinya. Semenjak itu Tok Guru Haji Abas telah digelar sebagai Abas Kemucut (Haji Abas Kemucut).


3.       Tok Guru Haji Abbas terkenal kerana alim dalam bidang ilmu Feqah yang merangkumi mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali, menerusi gerakan pendidikan pondok. Selain menguasai bahasa Arab, beliau juga mampu berinteraksi dalam bahasa Urdu dengan baik.


4.       Selain mendapat bimbingan agama daripada ayahnya sendiri, Haji Muhammad bin Tuan Kundur, Tok Guru Haji Abas memulakan pengajian awal di Pondok Haji Muhammad bin Haji Hussein di Kuala Besut.


5.       Dalam tahun 1931, Tok Guru Haji Abas melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 8 tahun ketika berusia 14 tahun. Setelah menamatkan pengajian di Mekah ketika usia 22 tahun, Tok Guru Haji Abas kemudian ke India untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah, Gujerat.


6.       Walaupun Tok Guru Haji Abas mempunyai didikan agama yang tinggi, beliau juga memberikan tumpuan kepada isu-isu kebangsaan, khasnya dalam kehadiran kaum imigran yang dirasakan menggugat politik dan ekonomi bumiputera. Belaiu telah menyeru rakyat Terengganu amnya dan Besut khusunya, supaya memulaukan kedai-kedai orang Cina.


7.       Dalam tahun 1936, Tok Guru Haji Abas telah ditahan selama beberapa bulan oleh pihak Inggeris setelah orang-orang Cina melaporkan kepada Inggeris tindakan beliau. Inggeris beranggapan bahawa Tok Guru Haji Abas adalah orang yang paling berpengaruh di Besut dan berjaya menghasut rakyat supaya memboikot ekonomi orang Cina. Ini akan menyebabkan rancangan Inggeris untuk melemahkan ekonomi dan politik orang Melayu akan terbantut. Tok Guru Haji Abas tidak pernah patah semangat ekoran penahannanya itu dan terus berjuang dalam menentang penjajahan dan kemasukan kaum imigran ke Tanah Melayu.


8.       Tamat penganjian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah, beliau pulang ke tanahair. Bagaimana pun, dalam tahun 1938 Tok Guru Haji Abas pergi semula ke India dan menyambung pelajaran di Universiti Darul Ulum Deoband.


9.       Setelah setahun di Universiti Darul Ulum Deoband, beliau kembali ke tanah air dan  telah menjadi seorang mubaligh dan pengkritik yang mana beliau telah bergerak melalui masjid dan pondok dengan membahaskan tentang persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh oleh kaum muda (pendokong fahaman Wahabi) iaitu penentangan terhadap amalan-amalan tradisi dalam masyarakat seperti kenduri arwah dan bacaan talkin.


10.   Tok Guru Haji Abas telah mendirikan sebuah pondok di kampung kelahirannya di Bukit Puteri dan dinamakan Madrasah Jamiah Diniah.


11.   Selain tu, beliau bersama beberapa orang sahabatnya telah membuka Madrasah Nurul Ittifaq di Kampung Raja, Besut. Tidak berapa lama kemudian Tok Guru Haji Abas membuka pula Darul Adib Al-Khursani di Kuala Besut.


12.   Mulai pada tahun 1945, Tok Guru Haji Abas telah mengumpul beberapa orang ulama dan membuka beberapa buah pondok dari Besut sehinggalah ke sempadan Bukit Yong di Pasir Puteh, Kelantan. Melalui pondok-pondok yang dibuka dari Besut sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan inilah Tok Guru Haji Abas menjalankan kerja-kerja dakwah tanpa henti sehinggalah ulama-ulama sahabatnya berjaya mengendalikan sendiri pondok-pondok yang diamanahkan kepada mereka.


13.   Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu tahun 1945, Tok Guru Haji Abas telah memberikan perlindungan kepada beberapa orang tahan Jepun yang akan dibawa ke Burma. Pegawai Pemerintah Jepun ketika itu telah memerintahkan supaya Tok Guru Haji Abas menyerahkan beberapa senarai nama lelaki Melayu untuk dihantar sebagai buruh paksa di Burma. Namun Tok Guru Haji Abas tidak mematuhi arahan Pegawai Jepun terbabit, sebaliknya menyembunyikan mereka di pondoknya di Bukit Puteri.  Beliau telah mengatur supaya tahanan tersebut melarikan diri dengan selamat pada waktu malam.


14.   Tok Guru Haji Abas, walaupun perjuangannya tidak mengangkat senjata sebagaimana datuknya di Patani, beliau adalah pejuang yang berani bercakap kerana benar. Banyak tindakannya semasa zaman penjajahan Jepun dan Inggeris menunjukkan bahawa beliau anti penjajah dan menentang segala bentuk pembaharuan yang dibawa penjajah demi supaya orang Melayu dan umat Islam tidak akan rugi dan tertipu.


15.   Dalam tahun 1953, Tok Guru Haji Abas telah berhijrah ke Kuala Terengganu dan membuka Pondok Tok Jiring di sana. Ia berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring) sehingga kerajaan negeri mengambil alih pentadbirannya pada tahun 1962. Pada tahun 1976, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf menjadi sebuah sekolah menengah agama yang termoden di Terengganu.


16.   Salah seorang anak murid Tok Guru Haji Abas ialah YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan 1990 – 2015). Tuan Guru Nik Aziz mula menadah ilmu dengan Tok Guru Haji Abas ketika umurnya 9 tahun lagi (1940). Tuan Guru Nik Aziz juga sentiasa merujuk kepada Tok Guru Haji Abas supaya menganjurkan tempat belajar yang harus dituju apabila beliau ingin melanjutkan pengajian. Ini termasuklah Darul Ulum Deoband di India.


17.   Kerajaan Negeri Terengganu telah menobatkan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah dalam sambutan Tahun Hijrah 1409. Penghargaan itu adalah sebagai mengenang jasa Tok Guru Haji Abas atas sumbangnnya terhadap anak bangsa serta dakwah agama khususnya kepada anak negeri Terengganu.


18.   Pada 17 April 1989, Sultan Terengganu berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, Datuk Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Datuk kepadanya.


19.   Tok Guru Haji Abbas juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Negeri Terengganu tahun 1990. Pada 16 Mei 1991, beliau sekali lagi dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.


20.   Dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau pernah dilantik sebagai senator selama 6 tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal tahun 60-an. Hal ini telah menimbulkan kemarahan parti PAS kerana dianggap membelakangi parti dalam membuat keputusan. Kita berharapan supaya kita berlapang dada dan biarkan Tok Guru membuat pilihannya sendiri dalam politiknya.


21.   Tok Guru Haji Abbas dikurniakan 15 orang anak. Antara anaknya yang meneruskan aktiviti dakwah menerusi sistem pondok ialah Tok Guru Abdul Aziz bin Haji Abas.


22.   Tok Guru Haji Abas berpulang kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 1997 dalam usia 88 tahun.

1 comment: