Thursday, 16 June 2016

Syeikh Abdul Samad al-Falimbani: Syahidnya Di Patani



1.       Riwayat hidup Syeikh Abdul Samad al-Jawi al-Falimbani sangat bersimpang siur kerana tiada dinyatakan dengan jelas tahun-tahun setiap peristiwa, dalam hayat ahli sufi nusantara ini. Selain itu, sumber rujukan pula bercanggah maklumat antara satu sama lain.


2.       Tulisan Syeikh yang paling terkenal ialah Hidayat as-Salikin yang siap penulisannya dalam tahun 1778 masehi. Kitab ini sebenarnya adalah terjemahan dari Kitab Bidayat as-Salikin karya Imam al-Ghazali. Bagaimana pun, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani telah menambah banyak perkara lagi bagi menghuraikan penulisan asal Imam Ghazali.


3.       Terdapat beberapa nama dari berbagai sumber tentang nama penuh, yang merujuk kepada Tuan Syeikh ini. Antaranya ialah Syeikh Abdul Samad bin Faqih Hussein al-Falimbani dan Syeikh Abdul Samad bin Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Selain itu ada rujukan yang menulis sebagai Syeikh Abdul Samad bin Abdul Rahman bin Abdullah bin Abdul Jalil al-Falimbani.



4.       Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pula mencatatkan Syeikh Abdul Samad bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Keturunan Syeikh Abdul Samad berasal dari negeri Yaman. Dicatatkan bahawa ayah Syeikh Abdul Samad, iaitu Syeikh Abdul Jalil telah datang dari Yaman menuju ke Nusantara untuk berdakwah.


5.       Syeikh Abdul Jalil telah ditemukan dengan putera Sultan Kedah, Tengku Muhammad Jiwa (Sultan Muhammad Jiwa bin Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Kedah 1710 – 1778). Tengku Muhammad Jiwa telah menjadikan Syeikh Abdul Jalil sebagai guru dan rujukan utama baginda.


6.       Setelah Sultan Muhammad Jiwa ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 1710, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani pula telah dilantik sebagai Mufti Kedah. Menerusi perkahwinan kedua Syeikh Abdul Jalil dengan Raden Ranti, seorang gadis Palembang, lahirlah Syeikh Abdul Samad al-Falimbani pada tahun 1704. (Perkahwinan pertama Syeikh Abdul Jalil dengna Wan Zainab binti Dato’ Sri Maharaja Dewa di Kedah, telah memperolehi Wan Abdullah dan Syeikh Wan Abdul Kadir. Syeikh Wan Abdul Kadir pula dilantik sebagai Mufti Kedah setelah ayahnya, Syeikh Abdul Jalil meninggal dunia).


7.       Syeikh Abdul Samad  dan dua lagi saudaranya itu dihantar ke Patani dan berguru dengan Syeikh Wan Abdul Rahman Pauh Bok (Tok Perobok) bin Syeikh Wan Abdul Mubin III.  Apabila usia semakin dewasa, Syeikh Abdul Samad dan Syeikh Abdul Kadir telah dihantar pula  oleh ayah mereka belajar di Mekah dan Madinah.


8.       Sahabat-sahabat yang akrab dengan Syeikh Abdul Samad ialah Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdul Rahman al-Batawi dan Syeikh Abdul Wahab Bugis. Dikatakan bahawa Syeikh Abdul Samad paling rapat dengan Syeikh Daud al-Fathani kerana mereka bersahabat semenjak dari kecil semasa menuntut bersama di Patani lagi.


9.       Syeikh Abdul Samad al-Falimbani sentiasa mengambil berat hal ehwal Nusantara walupun telah lama berada di Mekah. Nusantara ketika itu sedang bergelut dengan serangan penjajah di mana Jawa dan kepulauan sekitarnya telah jatuh ke tangan Belanda. Patani pula telah jatuh dalam serangan Siam pada 1785.


10.   Terdapat beberapa pucuk surat yang dikirim oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani kepada Sultan Mataram di Jawa. Bagaimana pun surat-surat berkenaan Berjaya dirampas oleh Belanda pada 1772. Antara surat yang dirampas tersebut ialah kepada Sultan Hamengkubowo I (Sultan Mataram 1755 – 1792).


11.   Sebagai menyokong dan memberi semangat terhadap jihad menentang penjajahan kafir di Nusantara, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani telah menghasilkan karya berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah.


12.   Sebelum tercetus perang Kedah dan Patani menentang penjajahan Siam, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani yang berada di Mekah telah menerima surat daripada saudaranya, Syeikh Abdul Kadir bin Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah yang memaklumkan bahawa akan berlaku perang jihad mempertahankan Islam dan tanahair bagi Kedah dan Patani.


13.   Kecintaan syeikh terhadap jihad telah sekian lama, namun panggilan jihad di Patani lebih utama berbanding tanah Jawa.  Barangkali kecintaannya terhadap bumi Patani lebih utama kerana di dalam sebuah manuskrip al-‘Urwatul Wutsqa karya beliau, terdapat Syeikh Abdul Samad menyebut di hujung namanya dengan ‘al-Fathani’.


14.   Syeikh kemudian pulang ke Kedah lalu diangkat sebagai Panglima Perang dan terus mara bersama angkatan Kedah, Patani, Aceh, Kelantan dan Terengganu. Perang yang disertai oleh Syeikh ini banyak pendapat dalam menyatakan tarikh berlakunya peristiwa itu. Kita pula berpendapat bahawa perang yang paling besar gabungan Kedah dan Patani sebanyak dua kali iaitu pada 1831 dan 1838. Ini kerana Syeikh telah ke Mekah selepas kejatuhan Patani 1785. Begitu juga dengan penghijrahan Syeikh Daud al-Fathani ke Terengganu dan seterusnya ke Mekah adalah selepas 1785. Penghijrahan besar-besaran golongan ulama Patani yang pertama dalam sejarah termasuklah keluarga Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas ke Terengganu.


15.   Persahabatan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani dan Syeikh Daud al-Fathani di Mekah menunjukkan penghijrahan itu berlaku akibat perang 1785. Semenjak itu Syeikh Daud al-Fathani tidak pernah pulang Ke Patani dan meninggal dunia di Mekah pada tahun 1847.


16.   Dengan itu juga, maka dapat difahami Syeikh Abdul Samad al-Falimbani telah syahid di Patani dalam perang 6 bulan bermula 1831 dan berakhir 1832. Ketika itu usia beliau sudah melebihi 100 tahun, tetapi ada ada yang menyebut bahawa Syeikh hanya berzikir dan bertasbih dan sebagainya sebagai senjata dan perisai umat Islam dalam perang tersebut.


17.   Jenazah Syeikh Abdul Samad al-Falimbani telah dimakamkan di Mukim Jenung di Chenak, Patani.




1 comment:

  1. tuan..nak tanya..betul ke Ada yg mengatakan beliau(sheik abdul samad) dipenggal kepala semasa perang dengan siam dan disimpan di muzium raja thailand..

    ReplyDelete