Tuesday, 28 June 2016

Tok Selehor: Ulama Sufi Berjiwa Melayu

1.       Setelah kejatuhan Patani kepada Siam pada 1785, negeri bumi auliya itu terus diberi berbagai tekanan dan serangan yang berterusan sehinggalah berlaku perang paling besar antara Siam-Patani selama 6 bulan bermula 1831 dan berakhir 1832. Diikuti perang ketiga besar pada tahun 1838. Peperangan inilah yang menyebabkan berlakunya penghijrahan besar-besaran watan Patani ke seluruh Nusantara. Kelantan paling banyak menerima kehadiran penduduk dari Patani ialah Terengganu, Kedah, Perak, Pahang  dan Johor. Selain itu ada yang berhijrah ke pulau-pulau di Laut China Selatan dan juga kepulauan Indonesia.


2.       Penghujung abad ke-19, telah muncul Ulama 5 Serangkai warisan Patani mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Nusantara. Mereka ialah Tok Jelapang (Tok Goloq / Tuan Gur Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Abdul Halim – 1861 – 1934) dari Pasir Mas, Tok Kenali (Tok Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad – 1868 – 1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (Tok Guru Haji Uthman bin Haji Muhammad – 1868 – 1953) dari Bachok, Tok Selehor, tokoh yang disebut dalam artikel ini - 1871 – 1935) dari Tumpat dan Tok Kemuning (Tok Guru Haji Ismail bin Senik – 1885 – 1934) dari Machang.


3.       Nama lengkap Tok Selehor atau Tok Selehong ini ialah, Haji Abdul Rahman bin Utsman. Bapanya Haji Utsman bin Senik berasal dari Jala di Patani yang berhijrah ke Kelantan akibat peperangan di Patani. Ibu Tok Selehor yang juga digelar Tok Syair itu pula ialah Mek Wi binti Muhammad Amin. Kampung Lubuk Jong atau kawasan Pondok Tok Selehor itulah beliau dilahirkan dalam tahun 1871.


4.       Tok Selehor telah menghabiskan pengajian 30 juzuk al-Quran dan asas agama dengan bapanya sendiri. Bagi mendapat asas yang lebih dalam, bapanya telah menghantar Tok Selehor menuntut ilmu dengan Tok Guru Haji Malik di Sungai Pinang, Tumpat.


5.       Setelah itu, Haji Utsman ayah Tok Selehor ,menghantarnya pula supaya melanjutkan pelajaran dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid di Kuala Bekah, Patani. Malangnya pembelajaran Tok Selehor di Kuala Bekar terhenti apabila Siam-Thai telah menangkap Tuan Guru Haji Abdul Rashid kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pemberontakan dan pembebasan Patani. Beliau kemudian berguru pula di Pondok Tok Cha-Ok dengan Tuan Guru Haji Abdullah bin Muhammad Akib di Bendang Jong, Patani.


6.       Sebagaimana ayahnya, Tok Selehor adalah seorang yang lincah dalam ilmu persilatan. Namun tidak dapat dipastikan dimanakan beliau mempelajari ilmu silat berkenaan. Dengan kemahirannya dalam ilmu silat dan bermain keris  itu, Tok Selehor berulang alik dari Patani dengan hanya berjalan kaki. Beliau tidak gentar dengan aktiviti penyamun di Bukit Tanjung atau kawasan lain di sepanjang perjalanannya.

Makam Ayah Tok Selehor
7.       Setelah Tok Selehor menamatkan pengajian pondok di Patani, beliau kembali ke Kelantan. Kemudiannya beliau berhijrah ke Mekah untuk menimba ilmu agama di kota suci Mekah. Di sana Tok Selehor berguru dengan ramai ulama’. Antara ulama’ yang menjadi gurunya termasuklah ulama’ Melayu yang terkenal di Mekah iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1856-1906). 


8.       Setelah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada 1906, Tok Selehor mendalami ilmu-ilmu alat Bahasa Arab, ilmu fiqh khususnya fiqh Mazhab Syafi’i dan pelbagai ilmu qiraat dari bapa saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani. Ketika Tok Selehor belajar kitab fiqh dengan Syeikh Wan Daud al-Fathani, beliau membuat catatan mengenai ilmu yang dipelajarinya sehinggakan sahabat baiknya iaitu Tok Kenali pernah meminjam catatan beliau mengenai Kitab Munyatul Musalli hasil karya Syeikh Daud al-Fathani bin Abdullah (1769-1846) untuk digunakan bagi mengajar pelajar-pelajarnya. Tok Selehor kembali ke tanah air pada tahun 1340H/1921M setelah menuntut ilmu di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun.


9.       Tok Selehor juga mempunyai minat membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau juga turut tersohor dengan kebolehannya dalam bersyair dan mengarang syair. Tambahan pula, tiada siapapun yang dapat menandingi kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu. Bakat yang ada pada dirinya beserta anugerah suara yang merdu menjadikan beliau lebih dikenali ramai dengan panggilan Penyair kita. Kelebihan ini telah menarik minat penduduk tempatan dan sekitarnya untuk datang menuntut ilmu agama dengan beliau.


10.   Tok Selehor turut memberikan sumbangan dalam mengeratkan hubungan dan mendamaikan suami isteri yang berbalah. Dengan bakat yang dimilikinya dalam mengarang syair-syair dan mengalunkan bait-bait syair yang indah, beliau membantu pasangan suami isteri yang bermasalah dalam rumahtangga mereka. Bahkan ada suami yang bermasalah telah meminta pertolongan Tok Selehor menulis surat syair yang puitis untuk dihantar kepada isterinya yang merajuk. Akhirnya isteri yang merajuk kembali berdamai. Berikut adalah contoh syair yang dikarang oleh Tok Selehor bagi mendamaikan suami isteri:

Tiap-tiap malam kanda bermimpi Sedap rasanya tiada terperi
Adinda di tengah kanda di tepi Harum baunya umpama kasturi
Menghisap rokok meminum kopi Suka dan hilai senang di hati
Memeluk tengkuk mencium pipi. Kasih mesra sehingga mati.

11.   Tok Selehor mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. Di sebalik statusnya sebagai ulama, beliau sangat meminati binatang-binatang yang cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan yang memiliki suara yang merdu dan sebagainya. Beliau seringkali meluangkan masa senggangnya dengan memburu rusa dan memukat ikan. Kebiasaannya Kuala Tumpat menjadi pilihan tempat beliau memukat ikan. Uniknya, hasil tangkapan yang diperolehi Tok Selehor akan dibahagi-bahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan anak-anak muridnya.


12.   Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, beliau pulang ke tanah air pada tahun 1921 lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di atas tanah peninggalan bapanya di pinggir sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsannuddin atau tasawuf dengan Syarah Hikam Ibn Ata'Allah sebagi teks utama. Tok Seleong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubung khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran pondok Selehong yang dijadikan semacam kamar khusus tempat belau beribadat dan bersuluk.


13.   Kecenderungan Tok Selehor terhadap ilmu tasawwuf dalam sistem pengajian pondok yang didirikannya adalah kerana beliau sangat menekankan penyucian hati atau dalam kata lain tazkiyyah al-nafs. Hal ini terbukti apabila beliau membina sebuah tempat beribadah kepada Allah yang khusus di kawasan perkuburan berhampiran pondoknya yang kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Kok Pasir. Ia merupakan tempat suluk dan dibina sama saiz dengan kubur untuk memastikan hatinya tidak menjadi sombong dan riak dengan kemasyhurannya serta untuk sentiasa mengingatkan dirinya tentang mati.


14.   Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan sahaja terdiri dari masyarakat tempatan, bahkan ada yang datang dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya.


15.   Tok Selehor mengajar kitab Hikam di Pondok Selehor pada setiap hari Selasa. Pada hari tersebut ramai orang yang datang dari pelbagai tempat antaranya dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya semata-mata untuk mendengar pengajaran Tok Selehor yang menarik. Selain itu, Tok Selehor juga mengajar di tempat lain seperti di Wakaf Bharu. 


16.   Tok Selehor menjadikan masjid sebagai salah satu tempat pengajarannya. Dalam kuliahnya, Tok Selehor suka menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w Gaya penceritaan yang dibawa oleh Tok Selehor menjadikan seolah-olah masyarakat mesra dan dekat dengan Nabi Muhammad s.a.w, bahkan ada yang terpaksa memanjat pokok kelapa demi melihat Tok Selehor membacakan kisah Israk dan Mikraj. Kehebatan Tok Selehor dalam menyampaikan ilmu tasawwuf menjadikan ramai orang yang berubah menjadi lebih baik. Antaranya ada yang tidak solat berubah menjadi rajin untuk solat, yang mempunyai akhlak yang buruk bertukar kepada akhlak yang baik. Tok Selehor juga berjaya menghapuskan amalan masyarakat setempatnya yang suka melakukan pemujaan hantu dan amalan-amalan khurafat.


17.   Sambutan Maulidurrasul yang diadakan julung kalinya oleh Tok Selehor sebenarnya telah dilakukan oleh para ulama’ terdahulu sama ada di dunia Arab mahupun dunia Melayu sejak zaman berzaman. Ulama’ terdahulu meraikan hari kelahiran Nabi s.a.w dengan pelbagai aktiviti sama ada melalui bacaan Barzanji, Burdah dan sebagainya. Barzanji ialah satu bentuk seni suara Islam yang mengandungi bacaan yang dikaitkan dengan peribadi dan sejarah hidup Rasulullah s.a.w yang dimulai dengan bacaan surah al-Fatihah, puji-pujian terhadap Nabi, selawat dan diakhiri dengan doa. Barzanji bukanlah nama sebenar bacaan tersebut, tetapi ia adalah sandaran kepada nama pengarangnya iaitu Syeikh Jaafar al-Barzanji yang berasal dari Madinah. Beliau merupakan seorang ulama’, khatib di Masjid Nabawi, sasterawan dan penyair di zamannya telah menghasilkan himpunan kisah kelahiran dan riwayat hidup Rasulullah s.a.w bagi menanamkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w dan disampaikan dalam bentuk gaya suara dan irama tertentu.


18.   Tok Selehor mempunyai keperibadian yang tinggi hasil didikan daripada kedua orang tuanya yang sangat mementingkan pendidikan agama. Tok Selehor bukan sahaja seorang yang berani, pemurah, suka beribadat dan tidak suka bercakap perkara yang sia-sia bahkan beliau dikenali ramai sebagai seorang ulama’ yang sangat zuhud, warak dan tawaduk.


19.   Ketika masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi  perkahwinan  itu langsung  tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.  Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan.


20.   Ketika berada di Mekah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu. Namun perkahwinan itu tidak bertahan lama kerana setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah.


21.   Tok Selehor berkahwin dengan Hajah Mek binti Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada ketika itu.  Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan  ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad). Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah.


22.   Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu.  Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man  dan hasil daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal.


23.   Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap berpuaka.  Tok Selehor tidak takut sedikitpun.  Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa.  Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah  rusa dapat ditembak dan disembelih.  Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa.


24.   Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor.  Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke  laut . Dua hari kemudian  datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya.




    25.   Tok Selehor kembali ke rahmatullah pada usia 64 tahun iaitu pada malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353H bersamaan 20 Februari 1935M setelah menderita sakit kepala yang berpanjangan selama lapan hari.




1 comment:

  1. Bismillahir Rahmanir Rahim

    https://keep.line.me/s/Dg9O1W5x3CyZh7KgLGITVNEy18cV76dX3C1YwDN9MQI


    Web: almawaddah.info

    Salam wa rahmah

    Kepada;

    Yang dihormati para akademik, para rektor universiti dan para mufti.

    Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/ tuan/puan

    Tajuk: "Penukaran al-Qur'an dangan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai asas agama Islam oleh para Mufti Malaysia adalah "un-Islamic". Rencana ini adalah bagi tujuan kajian dan renungan
    Tidakkah Islam itu rahmatan li -l-Alamin..?
    Terima kasih wa 'afwan.

    Daripada;
    Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
    Kuala Lumpur
    Malaysia.



    ReplyDelete