Sunday 5 June 2016

Telaga Lailatul Qadar Di Bendang Daya


1.       Malam Lailatul Qadar ialah suatu malam yang dijanjikan oleh Allah SWT ‘Lailatul Qadar (Arab: لیلة القدر‎) adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Quran yang pertama dipercayai diturunkan pada malam ini. Malam Lailatul Qadar disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Qadr, dan diceritakan lebih baik daripada 1,000 bulan.


2.       Telaga di Bendang Daya yang kita catatkan di sini pula dinamakan Telaga Lailatul Qadar kerana ia mempunyai kisah tersendiri. Di dalam cerita lisan, terdapat dua orang ulama besar Patani yang direzekikan oleh Allah SWT dengan berjumpa dengan malam dan peristiwa Lailatul Qadar di tempat yang sama tetapi dimasa yang berlainan. Tempat yang dimaksudkan itu ialah di perigi Bendang Daya yang dinamakan Telaga Lailatul Qadar tersebut.


3.       Lebih menariknya pula ialah kedua-dua ulama tersebut digelarkan dengan gelaran yang hampir sama dan keduanya pula adalah mempunyai pertalian darah bapa dan anak. Gelaran bagi bapa ialah Tok Bendang Daya I dan anaknya pula Tok Bendang Daya II. Mereka adalah dari keturunan putera bongsu Sayyid Nurul Alam bin Sayyid Hussein Jamaluddin (Syeikh Jamadil Kubro)


4.       Nama lengkap Tok Bendang Daya I ialah Haji Syeikh Wan Mustaffa bin Syeikh Wan Zainal Abidin (Faqih Wan Musa) bin Syeikh Wan Muhammad Shalih bin Sayyid Ali Nurul Alam (Syeikh Wan Ali al-Masyhur al-Laqihi).  Beliau ialah Hulubalang Sultan Patani yang diberi gelar Datuk Panglima Kaya atau panggilan ringkasnya, Hulubalang Wan Pa. Tok Bendang Daya I membuka pondok pengajian Islam di Kampung Sena dan generasi pondok lebih mengenali beliau sebagai Tok Bendang Daya.


5.       Diceritakan pada suatu malam pada bulan Ramadhan, Tok Bendang Daya I sedang mengambil wuduk. Beliau mendapati pohon-pohon seperti rebah mengadap perigi Bendang Daya dan airnya pula tiba-tiba membeku. Lalu pada malam yang berkat itu, Tok Bendang Daya I telah berdoa agar dikurniakan kepada 4 orang anak serta keturunan mereka menjadi ulama yang tiada putus hingga ke Kiamat.

6.       Empat anak Tok Bendang Daya I yang dimaksudkan ialah, Syeikh Wan Muhammad Zainal Abdin (Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani / Tok Guru Wan Din al-Fathani) bin Haji Syeikh Wan Mustaffa. Anaknya yang kedua pula, Syeikh Wan Abdul Kadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) bin Haji Syeikh Wan Mustaffa. Syeikh Wan Abdul Latif al-Fathani bin Haji Syeikh Wan Mustaffa (mengajar agama Islam di Bangkok). Syeikh Wan Daud al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) bin Haji Syeikh Wan Mustaffa yang mengajar di Mekah.


7.       Tok Bendang Daya II pula ialah Syeikh Wan Abdul Kadir al-Fathani juga dilantik sebagai Panglima Sultan Patani.  Setelah Tok Bendang Daya I meninggal dunia pada 1863, Tok Bendang Daya II Syeikh Wan Abdul Kadir telah meneruskan pengajaran agama Islam di Pondok Bendang Daya.


8.       Ketika Tok Bendang Daya II bertemu malam Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya, beliau mendoakan supaya dianugerahkan ulama  yang tidak putus dalam 7 keturunan zuriatnya.


9.       Anak Tok Bendang Daya II, Syeikh Wan Ismail al-Fathani (Pak De Eil Mekah) bin Syeikh Wan Abdul Qadir, mengajar di Mekah. Manakala Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani (Pak Cu Him Kedah) membuka Pondok Gajah Mati di Kedah.




10.   Telaga Laitul Qodar di Bendang Daya masih lagi kekal pada hari ini terus menyimpan kisah-kisah mereka yang pernah menggunakan airnya, termasuklah kedua orang Tok Bendang Daya, Hulubalang, Panglima serta ulama besar Patani tersebut.


11.   Antara tokoh ulama besar dari Patani yang menjadi rujukan di Mekah dan Timur Tengah ialah cucu Tok Bendang Daya I. Beliau ialah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani bin Syeikh Muhammad Zainal Abidin bin Haji Syeikh Wan Mustaffa. Syeikh Wan Ahmad al-Fathani juga merupakan rujukan kepada kerajaan Empayar Uthmaniyyah di Turki.


12.   Sehingga sekarang, masih ramai keturunan Tok Bendang Daya yang menjadi ulama dan mengajar agama dengan ikhlas dan redha.





Foto ihsan Baba Aseh dan Baba Baharin

2 comments:

  1. للعلماء العاملين والأولياء الصالحين الفاتحة

    ReplyDelete